saifulaffendy@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Persekutuan Badminton Dunia (BWF) dicadang untuk menggunakan teknologi Video Bantuan Pengadil (VAR) seperti dalam bola sepak bagi membantu pengadil membuat keputusan lebih tepat.
Cadangan itu dikemukakan beregu lelaki negara, Aaron Chia yang menyaksikan gandingannya bersama Soh Wooi Yik serta barisan pemain negara yang lain pernah melalui pengalaman berdepan keputusan tidak memihak kepada mereka.
“Saya rasa mereka (BWF) boleh memasukkan penggunaan VAR, seperti dalam bola sepak dan dari segi servis pula, saya rasa ada sesuatu yang boleh mereka teliti, bukan hanya melihat dari sudut pandangan pengadil servis semata-mata.
“Kadang-kadang kita boleh lihat (fizikal) ketinggian pengadil servis itu berbeza-beza, jadi sudut pandangan mereka terhadap servis juga berbeza.
“Walaupun hadnya (alat pengukur servis) ialah 1.15 meter, tetapi sudut pandangan mereka untuk setiap pemain adalah berbeza disebabkan oleh ketinggian pengadil servis,” katanya ketika ditemui selepas tamat sesi latihan, hari ini.
Pada Terbuka Singapura awal bulan ini, Aaron berdepan situasi tidak memihak kepadanya apabila servisnya dibatalkan ketika dia dan Wooi Yik berdepan beregu Korea Selatan, Kim Win Ho-Seo Seung Jae di perlawanan akhir.
Sementara itu, Aaron berharap pengadil tidak terlalu tegas sebaliknya lebih terbuka dan peka untuk membenarkan pemain mendapatkan rawatan perubatan di tepi gelanggang.
“Saya rasa kadang-kadang ia (rawatan perubatan) mungkin digunakan sebagai taktik oleh pemain untuk melengahkan masa.
“Tetapi kita boleh katakan kebanyakan pemain sebenarnya tidak mahu membazirkan masa dengan perkara seperti itu.
“Apabila mereka meminta bantuan perubatan, saya rasa mereka benar-benar memerlukannya. Jadi saya rasa BWF perlu ambil berat dan lebih peka mengenai perkara ini.
“Bukannya setiap kali kami memanggil bantuan perubatan itu semata-mata untuk melengahkan masa. Kadang-kadang kami betul-betul perlukan rawatan seperti ‘cold spray’ atau balutan pada kaki, tangan serta buku lali.
“Kadang kala apabila kami sedang bermain di gelanggang, kami nampak lawan kami benar-benar mengalami kecederaan seperti terseliuh buku lali, tetapi apabila pengadil datang, mereka anggap pemain itu sengaja melengahkan masa,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




