Aaron Chia letak harapan besar di Kejohanan Dunia Paris 2025

Aaron Chia letak harapan besar di Kejohanan Dunia Paris 2025

aida_adilah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pemain beregu lelaki utama negara, Aaron Chia meletakkan harapan tinggi untuk melihat keempat-empat pasangan Malaysia mara ke separuh akhir Kejohanan Badminton Dunia 2025 di Paris hujung bulan ini sebagai hadiah terbaik sempena Hari Kemerdekaan negara yang ke-68.

Itu harapan yang disuarakan pemain utama negara, Aaron menjelang Kejohanan Badminton Dunia 2025 di Paris hujung bulan ini, apabila Malaysia menghantar empat wakil dalam acara beregu lelaki paling ramai berbanding negara lain.

Juara dunia 2022 itu menyifatkan jika keempat-empat gandingan negara mara ke kelompok empat terbaik bakal menjadi detik bersejarah buat skuad badminton tanah air.

Bagaimanapun, Aaron tidak menafikan saingan kali ini jauh lebih mencabar, terutama dengan kehadiran pasangan Korea Selatan, Seo Seung Jae-Kim Won Ho yang kini menduduki ranking nombor satu dunia.

“Beregu lelaki sekarang memang susah nak dijangka. Semua lawan pun bukan mudah.

“Kita tengok Seung Jae-Won Ho baru digandingkan beberapa bulan, tapi sudah jadi nombor satu dunia. Mereka antara lawan paling sukar setakat ini,” katanya

Setakat ini, Malaysia menjadi negara paling ramai menghantar empat pasangan lelaki ke Kejohanan Dunia kali ini iaitu Aaron-Wooi Yik, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, Man Wei Chong-Tee Kai Wun dan Arif Junaidi-Yap Roy King.

Juara dunia edisi 2022 itu percaya jika semua beregu negara berjaya melepasi halangan suku akhir, maka kejuaraan tetap akan menjadi milik Malaysia, walaupun bukan dirinya bersama Soh Wooi Yik yang menjulang trofi kali ini.

“Kita juga ada rakan senegara seperti Wei Chong-Kai Wun dan Arif-Roy King. Jadi bila perlu bertemu sesama sendiri, saya rasa itu juga bukan mudah,” kata Aaron ketika ditemui selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara.

Untuk rekod, Aaron-Wooi Yik muncul juara dunia pada edisi 2022 di Tokyo dan memenangi gangsa di Copenhagen (2023), sudah merangkul 3 kejuaraan tahun ini (Kejohanan Asia, Terbuka Thailand, Terbuka Singapura) selain bergelar naib juara di Terbuka China dan Malaysia Masters.

Manakala Wei Chong-Kai Wun (Masters Indonesia dan Malaysia); Arif-Roy King (Terbuka Macau), Sze Fei-Nur Izzuddin (juara Terbuka India dan naib juara Terbuka Jepun).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top