Syazwan Msar
mohdsyazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Laluan berliku menanti beregu nombor satu negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik apabila mereka diundi bertemu pasangan ketiga terbaik dunia di pentas suku akhir badminton sukan Olimpik Paris 2024.
Menerusi undian yang dijalankan sebentar tadi menyaksikan Aaron-Wooi yang berada di ranking ketujuh dunia akan bertemu wakil India Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty.
Aaron-Wooi Yik menamatkan saingan peringkat kumpulan di tempat kedua di belakang beregu China, Liang Wei Keng-Wang Chang, selepas merekodkan dua kemenangan satu kekalahan.
Pasangan negara itu ketika ini dalam momentum terbaik untuk memperbaiki pencapaian kilaun pingat gangsa yang diperoleh ketika edisi Tokyo 2020 tiga tahun lalu.
Mengikut rekod, pasangan negara itu memulakan kempen dengan menewaskan beregu nombor 18 dunia dari Great Britain Ben Lane-Sean Vendy 19-21, 21-16, 21-11 pada Sabtu sebelum mengesahkan tiket suku akhir dengan menyingkirkan wakil Kanada, Adam Dong-Nyl Yakura 21-10, 21-15.
Namun, mereka agak sukar untuk merobohkan Tembok Besar China apabila tumbang kepada Liang Wei Keng-Wang Chang 22-24, 14-21.
© New Straits Times Press (M) Bhd




