PETALING JAYA: Dua beregu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Pearly Tan-M. Thinaah menempah slot suku akhir selepas menewaskan lawan masing-masing pada pusingan kedua Kejohanan Badminton All England di Utilita Arena Birmingham, England, awal pagi tadi.
Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang merupakan beregu lelaki No. 2 dunia menewaskan rakan senegara, Arif Junaidi-Yap Roy King 21-15, 18-21, 21-18 dalam masa 1 jam 3 minit.
Kemenangan tersebut menyaksikan Aaron-Wooi Yik kini melebarkan rekod kemenangan mereka ke atas Arif-Roy King yang berada di tangga ke-18 dunia kepada 3-0.
Pada suku akhir, Aaron-Wooi Yik akan menghitung pertemuan dengan satu lagi rakan seperjuangan mereka iaitu pasangan No. 6 dunia, Man Wei Chong-Tee Kai Wun.
Pertembungan dua beregu Malaysia itu bermakna sekurang-kurangnya satu wakil negara telahpun mengisi tempat ke separuh akhir.
Sementara itu, dalam aksi beregu wanita, pasangan No. 2 dunia, Pearly Tan-M. Thinaah tidak menghadapi masalah menyingkirkan beregu pecah ganding Korea Selatan, Lee Seo Jin-Lee Yeon Woo
21-14, 21-14 dalam masa 43 minit.
Pearly-Thinaah kini mendahului rekod pertemuan 1-0 ke atas Seo Jin-Yeon Woo selepas pertembungan tersebut merupakan kali pertama kedua-dua beregu bertemu di pentas antarabangsa.
Beregu wanita No. 1 Malaysia itu akan berdepan pasangan Indonesia yang menghuni ranking ke-21 dunia, Febriana Dwipuji Kusuma-Meilysa Trias Puspitasari di suku akhir.
Thinaah ketika ditemu bual wakil Persekutuan Badminton Dunia (BWF) berkata, dia gembira berjaya mara ke suku akhir, tetapi, masih perlu perbaiki beberapa kelemahan terutama pertahanan dan secara keseluruhan banyak perkara positif yang dapat mereka kutip daripada perlawanan, hari ini.
“Apa yang paling penting pada ketika ini ialah bagaimana kami menikmati keseronokan permainan kami, walaupun, ada kesilapan yang kami lakukan dan bagaimana kami mengatasi kelemahan itu serta saling menyokong di antara satu sama lain,” katanya.
Pearly pula berkata, mara ke suku akhir merupakan pencapaian terbaik mereka di All England dan kalau boleh mahu menikmati sebaik mungkin perlawanan di peringkat tersebut nanti.
Sementara itu, beregu lelaki No. 8 dunia, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani menjadi wakil kelima negara yang terkandas di pusingan kedua.
Juara Indonesia Masters itu terpaksa akur kepada beregu ke-50 dunia, Muhammad Rian Ardianto-Rahmat Hidayat 21-23, 16-21 dalam masa 36 minit.
Kedua-dua beregu belum pernah bertemu sejak Muhammad Rian berpisah dengan Fajar Alfian dan kekalahan itu menyaksikan Sze Fei-Izzuddin kini ketinggalan 0-1 di belakang gandingan Indonesia tersebut. – UTUSAN




