aida_adilah@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik mengakui perlu berhati-hati dengan gandingan nombor satu dunia dari Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae.
Pasangan lawan dari Korea Selatan itu dilihat menjadi ancaman utama dalam misi memburu gelaran dunia kedua pada Kejohanan Dunia di Paris, Perancis, dari 25 hingga 31 Ogos ini.
Ia terbukti dengan rentetan kejayaan yang diraih biarpun baharu saja digandingkan Januari lalu.
Setakat ini Won Ho-Seung Jae sudah pun meraih lima gelaran juara Jelajah Dunia BWF iaitu Terbuka Malaysia, Terbuka Jerman, Seluruh England, Terbuka Indonesia dan Terbuka Jepun selain muncul naib juara Terbuka India dan Terbuka Singapura.
Aaron mengakui kemampuan pasangan lawan itu namun dalam masa yang sama menegaskan bahawa dalam acara beregu peluang sentiasa terbuka dalam merebut kejuaraan dan ranking bukannya penentu kemenangan.
“Kita semua tahu, Won Ho-Seung Jae baru bergandingan beberapa bulan tetapi sudah jadi nombor satu dunia.
“Memang mereka lawan paling sukar buat kami sekarang,” kata Aaron yang bersama Wooi Yik menjuarai Kejohanan Dunia 2022 di Tokyo, sekali gus menamatkan penantian emas Malaysia di pentas berprestij itu.
Begitupun Aaron berkata, beregu negara turut mempunyai harapan yang cerah dan tidak boleh dipandang ringan.
Kali ini, Kejohanan Dunia bakal menampilkan empat beregu yang pastinya ia menjanjikan satu cabaran yang menarik untuk dilihat.
Selain Aaron-Wooi Yik, skuad negara turut dibarisi Man Wei Chong-Tee Kai Wun, Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King dan pasangan profesional, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani.
Tegas Aaron, siapa saja mampu melakarkan kejutan dan percaya barisan pemain negara mampu menghadirkan tekanan kepada pihak lawan.
© New Straits Times Press (M) Bhd