Aaron–Wooi Yik sekadar perak di Thailand

Aaron–Wooi Yik sekadar perak di Thailand

saifulaffendy@hmetro.com.my

Bangkok: Beregu utama negara, Aaron Chia–Soh Wooi Yik tiada jawapan selepas gagal menghadiahkan pingat emas kepada negara pada Sukan Sea Thailand.

Gandingan nombor negara itu terpaksa berpuas hati dengan pingat perak apabila tewas straight set kepada pasangan Indonesia, Sabar Karyaman Gutama–Moh Reza Pahlevi Isfahani 14-21, 17-21 pada aksi final yang berlangsung di Gimnasium Universiti Thammasat, hari ini.

Menurut Aaron, kekalahan itu jelas satu tamparan, namun mereka tidak mempunyai pilihan selain bangkit semula bagi menghadapi kejohanan seterusnya, iaitu Jelajah Dunia Akhir BWF di Hangzhou, China dari 17 hingga 21 Disember ini.

“Ia adalah kemenangan straight set dan kami perlu bangkit semula. Kami masih ada satu lagi kejohanan untuk tahun ini.

“Saya rasa prestasi mereka sejak beberapa bulan kebelakangan ini memang sangat konsisten. Mereka bukan lawan yang mudah dan kami perlu ambil pengajaran daripada kekalahan ini,” katanya.

Kegagalan Aaron–Wooi Yik meraih emas menyaksikan kem badminton negara hanya mampu membawa pulang satu pingat emas daripada empat yang disasarkan oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada temasya kali ini.

Skuad negara menamatkan kempen Sukan Sea kali ini dengan satu emas, dua perak serta enam gangsa.

Satu-satunya emas badminton negara diraih menerusi beregu wanita, Pearly Tan–M Thinaah yang tampil cemerlang menundukkan pasangan Indonesia, Febriana Dwipuji Kusuma–Meilysa Trias Puspitasari 21-16, 19-21, 21-17 pada aksi final, hari ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top