Aaron-Wooi Yik 'smash' adik

Aaron-Wooi Yik 'smash' adik

firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Jaguh beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik semakin hampir melangkah ke final apabila mengesahkan tiket ke separuh akhir Terbuka China di Gimnasium Pusat Sukan Olimpik Changzhou, sebentar tadi.

Aaron-Wooi Yik yang juga pasangan nombor dua dunia itu tidak berdepan masalah besar di suku akhir apabila mudah membenam cabaran rakan senegara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun.

Pemenang gangsa Olimpik Paris dan Tokyo tampil dengan permainan berdisiplin untuk mencatat kemenangan 21-16, 21-16 dalam masa 33 minit.

Tampil dengan kawalan penuh sejak awal permainan, Aaron-Wooi Yik menggunakan pengalaman dan corak permainan agresif untuk memaksa pasangan ranking ketujuh dunia itu melakukan banyak kesilapan mudah terutama di bahagian jaring.

Aaron-Wooi Yik akan bertemu beregu India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty bagi perebutan slot ke final, esok.

Beregu ranking 12 dunia itu mara selepas mengalahkan beregu profesional negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi pada satu lagi aksi suku akhir 21-18, 21-14 dalam tempoh 40 minit.

Kejayaan Aaron-Wooi Yik dilihat cukup bermakna selepas sebelum itu beregu wanita nombor satu negara, Pearly Tan-M Thinaah turut melangkah ke separuh akhir.

Pearly-Thinaah mudah membenam gandingan dari Jepun, Yuki Fukushima-Mayu Matsumoto dengan 21-16, 21-12 yang memakan masa selama 39 minit.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top