Abadi memori seni resin

Abadi memori seni resin

hafizithnin@mediaprima.com.my

Usai bergelar graduan diploma dalam bidang kewangan pada 2015, wanita ini melakukan pelbagai pekerjaan termasuk di luar bidang pengajiannya.

Di sudut hati Sheren Shafika Mohamed Aziz, 30, dia mencintai bidang seni yang sebenarnya sudah berputik sejak kanak-kanak.

Namun, dia bukan seorang yang pandai melukis, tetapi hanya gemar seni yang mampu dihasilkan pengkarya seni.

Pada 2020, dia menginsiprasikan karya resin yang dihasilkan artis luar negara sebagai titik mula untuknya mengasah bakat dalam bidang itu.

Katanya, pada awalnya amat sukar menjayakan hasil seni kraf tangan berkenaan kerana ia bermain dengan beberapa bahan kimia bagi memastikan objek yang hendak ‘diawetkan’ berada dalam keadaan dikehendaki.

“Pada awalnya saya hanya melakukan kerja seni membabitkan resin buku nota. Kemudian pada 2022 saya beralih kepada resin membabitkan pengawetan bunga segar.

“Pengawetan bunga segar ini mendapat banyak permintaan kerana setiap masa hadiah dalam bentuk bunga diberikan kepada orang yang tersayang. Jadi, si penerima ingin menjadikannya sebagai satu bentuk kenangan dan diawetkan,” katanya.

Katanya, seni resin pengawetan bunga segar itu mengambil masa lama kerana ia membabitkan pelbagai proses antaranya bunga itu perlu dikeringkan menggunakan bahan pengering yang mengambil masa kira-kira dua minggu.

“Kemudian ia membabitkan proses menuang resin dalam acuan mengikut corak dikehendaki pelanggan. Biasanya keseluruhan proses ini mengambil masa sehingga dua bulan setengah.

“Menariknya, bagi mereka yang menghargai seni resin pengawetan bunga segar ini, mereka sanggup menunggu pada masa berkenaan kerana ingin mengabadikan memori peribadi dalam satu karya yang tidak akan rosak,” katanya.

Katanya, dalam tempoh sebulan dia mampu memperoleh paling kurang 30 tempahan dan paling tinggi mencecah 60 tempahan terutama pada musim konvokesyen.

“Harga yang saya tawarkan pula bermula pada RM10 hingga RM380 bergantung saiz resin dan bentuk yang pelanggan inginkan. Lebih kompleks rekaan dan saiz lebih besar pastinya harga lebih tinggi.

“Pada saya harga adalah perkara kedua, tetapi perkara lebih utama ialah dapat membantu orang ramai mengabadikan memori kuntuman bunga yang mereka peroleh dalam satu bentuk yang tidak rosak dan boleh dijadikan hiasan kekal,” katanya.

Jelasnya, menghasilkan seni kraf itu sudah tentu mempunyai cabaran tersendiri terutama perlu berhati-hati dalam menggunakan bahan kimia pengering bunga.

“Pada awalnya saya acap kali perlu menukar beberapa jenis bahan pengering kerana ia menjadikan bunga yang dikeringkan itu bertukar warna dan tidak seperti bunga segar.

“Jadi, pemilihan bahan pengering amat penting. Jika tidak saya perlu menggantikan bunga yang diberikan pelanggan. Selain itu, pastinya tidak sama kerana ia adalah hadiah daripada individu yang mereka sayangi,” katanya.

Katanya, menghasilkan kraf tangan itu yang menggunakan pelbagai bahan kimia perlu dilakukan berhati-hati kerana ia boleh memberi kesan kepada kesihatan diri.

“Memandangkan penghasilan kraf tangan ini memerlukan pelbagai bahan kimia, saya perlu berhati-hati kerana jika tersilap langkah insiden seperti tertumpah pada kulit ia dikhuatiri boleh memberi kesan dari segi kesihatan diri.

“Jadi, menghasilkan kerja kraf tangan ini bukan sekadar ingin menghasilkan sesuatu yang cantik, tetapi ia juga membabitkan keselamatan diri si pembuat itu sendiri,” katanya.

Katanya, ketika ini dia melakukan kerja menghasilkan kraf tangan itu sendiri dan dibuat di rumah walaupun mempunyai banyak permintaan.

Bagaimanapun, bagi menghasilkan satu seni resin yang membabitkan memori, dia percaya penghasilannya perlu dilakukan dengan tekun.

“Bagi saya untuk mencari pembantu perlu dipastikan individu itu memahami nilai sentimental bunga yang dihantar kepada kita untuk diawet kerana setiap bunga itu mempunyai nilai peribadi tersendiri,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top