Penyanyi Marygrace tampil dengan lagu raya terbaharu berjudul Salam Senyum Raya yang turut menjadi lagu raya solo pertamanya sepanjang bergelar penyanyi.
Lebih istimewa, muzik video lagu tersebut menjalani penggambaran di Sabah, kampung halaman Marygrace sendiri, sekali gus menjadikan projek itu lebih bermakna apabila dapat berkongsi momen bersama ibunya.
Menurut juara One In A Million ini, pemilihan Sabah sebagai lokasi penggambaran dibuat bagi memberikan sentuhan yang lebih autentik selari dengan konsep tradisional yang dibawa oleh lagu tersebut.
“Saya memang memilih Sabah kerana itu kampung halaman saya. Lagu ini ada elemen tradisional, jadi terasa lebih autentik apabila penggambaran dilakukan di sana.
“Tambahan pula ini merupakan lagu raya solo pertama saya, jadi saya mahu muzik video ini menjadi sesuatu yang istimewa dan sukar dilupakan. Apabila dapat menjalani penggambaran bersama ibu di kampung, ia menjadi momen yang sangat bermakna buat saya,” katanya.
Berkongsi mengenai lagu tersebut, Marygrace berkata Salam Senyum Raya membawa suasana Aidilfitri yang ceria dan penuh kehangatan, terutama ketika keluarga berkumpul serta saling bermaafan.
“Lagu ini membawa vibe Raya yang ceria dan hangat. Ia berkisar tentang kegembiraan apabila tiba hari Raya, saat kita berkumpul bersama keluarga, bermaaf maafan dan berkongsi senyuman dengan orang tersayang.
“Saya berharap lagu ini boleh menjadi antara lagu yang orang dengar ketika perjalanan pulang ke kampung atau semasa berkumpul bersama keluarga,” jelasnya.
Dalam masa sama, Marygrace mengakui pengalaman merakam lagu tersebut sangat menyeronokkan apabila dia bekerjasama bersama Omar K di studio.
Katanya, proses rakaman berjalan lancar kerana lagu tersebut bersifat santai, namun cabaran sebenar datang ketika penggambaran muzik video.
“Pengalaman merakam lagu ini memang menyeronokkan. Saya merakam bersama Omar dan prosesnya agak santai, jadi tidak banyak cabaran ketika rakaman.
“Namun penggambaran muzik video agak mencabar kerana kami semua sedang berpuasa dan perlu menjalani penggambaran dalam cuaca yang panas. Pada masa yang sama kami mahu memastikan emosi dan suasana Raya yang ceria itu dapat disampaikan dengan natural,” katanya.
Tambah Marygrace, sebelum ini dia lebih banyak terlibat dalam lagu raya secara berkumpulan, namun peluang merakam lagu raya secara solo memberikan pengalaman yang berbeza.
“Memang terasa perbezaannya kerana sebelum ini saya biasa menyanyikan lagu Raya secara berkumpulan. Kali ini saya membawa keseluruhan lagu secara solo, jadi tanggungjawab itu terasa lebih besar.
“Dalam masa yang sama saya sangat bersyukur dan teruja kerana diberi peluang untuk mempunyai lagu Raya solo sendiri,” katanya.
Marygrace berharap Salam Senyum Raya dapat menceriakan suasana Aidilfitri serta menjadi sebahagian daripada memori indah pendengar setiap kali musim perayaan.
“Jika lagu ini boleh membuatkan orang tersenyum, menyanyi bersama atau menjadi sebahagian daripada memori Raya mereka, itu sudah cukup bermakna buat saya,” katanya.




