Kisah pemergian seorang bapa yang penyayang dan rajin ini pasti akan buat ramai sebak. Seorang Juruukur dari Kota Bharu, Abdullah Mat, 59, menghembuskan nafas terakhir di Tanah Suci Makkah semasa mengerjakan ibadah haji, semalam.
Sebelum berangkat, arwah dikatakan begitu sibuk menyiapkan pelbagai urusan rumah dan menyelenggara semua kenderaan anak-anaknya. Bila dinasihatkan untuk berehat, jawapan yang diberi cukup menyentuh hati – “Abah akan rehat sepuas-puasnya di Makkah.”
“Kami Bangga Abah Pergi Dalam Keadaan Yang Indah”
Anak keduanya, Dr Anis Nabihah, 26, memaklumkan yang dia dan adik-beradik reda dengan pemergian insan tersayang itu meskipun berita kematian yang disampaikan ibu mereka mengejutkan seluruh keluarga.
“Kami adik-beradik ada nasihatkan abah supaya lebih banyakkan berehat memandangkan dia akan mengerjakan haji, namun abah jawab dia akan rehat sepuas-puasnya di Makkah.”
Katanya lagi, arwah ayah mereka dikenali sebagai seorang yang sangat baik, rajin bekerja, penyayang, dan sangat menjaga solat berjemaah. Rutin harian Allahyarham termasuk menunaikan solat sunat dua rakaat di rumah sebelum ke masjid untuk solat Subuh bersama jemaah.
“Saya dan adik-beradik reda dengan kehilangan abah yang sangat kami sayang, kami bangga dia ‘pergi’ dalam keadaan yang sangat ‘indah’ di Tanah Suci Makkah.”
“Mama Tak Pernah Tinggalkan Abah, Sampai Ke Hujung Nyawa”
Menurut Dr Anis lagi, ibu mereka, Sharifah Hasan, 57, yang juga seorang guru, tetap tenang dan menerima takdir pemergian suaminya dengan reda. Sepanjang berada di Makkah, pasangan ini sentiasa bersama.
“Mama selalu berkata dia tidak akan meninggalkan abah kerana mereka selalu berdua, malah menurut mama, sepanjang di Makkah juga, abah selalu bersamanya sehinggalah abah dijemput Ilahi.”
Kini, mereka hanya mampu memberi kata-kata semangat kepada ibu mereka dari jauh dan berdoa agar ibadah hajinya berjalan lancar.




