am@hmetro.com.my
Pasir Mas: “Saya tak sangka kesungguhan Abah mengemas rumah serta menyelenggara kereta termasuk semua kenderaan anak-anak sebelum menunaikan haji adalah petanda Abah akan meninggalkan kami buat selama-lamanya,” luah Dr Anis Nabihah Abdullah, 26.
Anis adalah anak kedua daripada empat adik beradik kepada jemaah Haji, Allahyarham Abdullah Mat, 59, yang meninggal dunia di Tanah Suci Makkah, semalam.
Katanya, dia dan adik beradik lain terkejut menerima khabar kematian bapanya melalui panggilan telefon oleh ibu, Sharifah Hasan, 57, namun reda dengan ketentuan Illahi selain menganggap bapanya insan terpilih yang menemui ajal di sana (Makkah).
“Abah seorang yang sangat baik dan penyayang selain rajin bekerja. Malah sebelum arwah mengerjakan haji, dia mengemas semua bahagian rumah termasuk mengupah orang untuk memotong rumput.
“Kami adik beradik ada menasihati abah supaya lebih banyakkan berehat memandangkan dia akan mengerjakan haji namun abah menjawab bahawa dia akan rehat sepuasnya di Makkah.
“Setiap hari, arwah cuba meluangkan masa untuk solat berjemaah di masjid dan rutin dia yang saya ingat adalah solat sunat dua rakaat di rumah sebelum bergegas ke masjid untuk mengerjakan solat Subuh,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Anis yang juga pegawai kesihatan di Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II, Kota Bharu berkata, arwah bapanya yang juga juruukur di Pejabat Tanah dan Galian Kota Bharu, sangat mementingkan solat berjemaah selain disenangi oleh penduduk kampung.
Jelasnya, ibunya yang juga seorang guru kelihatan tenang dan reda dengan apa yang terjadi namun mereka tahu jauh di sudut hatinya sangat merindui arwah bapanya
“Mama selalu berkata bahawa dia tidak akan meninggalkan abah kerana mereka selalu berdua, malah menurut mama sepanjang di Makkah juga abah selalu bersamanya sehinggalah abah dijemput Illahi.
“Kami adik beradik hanya mampu berdoa dan memberi kata-kata semangat agar mama sentiasa kuat dalam menjalani ibadah haji di sana. Kami hanya mampu membuat panggilan telefon untuk berhubung demgan mama disana.
“Selain itu, saya dan adik beradik lain reda dengan kehilangan abah yang sangat kami sayang, namun kami bangga dia pergi dalam keadaan yang sangat ‘indah’ di tanah suci Makkah,” katanya.
Sarifah reda pemergian suami tercinta semasa menunaikan haji
Jemaah haji negara meninggal dunia akibat serangan jantung
© New Straits Times Press (M) Bhd