Abah pergi dengan tenang – Ziana Zain

Abah pergi dengan tenang – Ziana Zain

syafil.syazwan@hmetro.com.my

Shah Alam:”Abah seorang yang luar biasa,”.Demikian perkongsian penyanyi, Ziana Zain mengenai sosok bapanya, Allahyarham Zin @ Zain Abdullah yang menghembuskan nafas terakhirnya, hari ini.

Ziana ketika ditemui di kediaman keluarganya berkata, bapanya seorang suami dan bapa yang ringan tangan dan gemar membantu sesama manusia.

“Dia boleh memasak, menjahit, mengemas rumah, malah menyiapkan anak-anak. Semasa ibu dalam pantang, abah yang menjaga rumah, memandikan anak-anak, memasak, mengemop lantai, membasuh baju, semua dilakukan olehnya.

“Abah seorang yang ringan tangan, suka menjamu tetamu walaupun hanya dengan segelas air atau biskut kering. Dia suka menolong dan bersedekah.

“Rezekinya melimpah kerana sifat pemurah itu. Sebagai seorang polis, dia berkhidmat membantu ramai orang. Allah juga memudahkan akhir hayatnya dengan cara yang baik dan indah,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Ziana, Zin juga menjadi tulang belakang dalam kerjaya seninya dan juga adiknya, Anuar Zain.

“Dari dulu lagi dia yang menemani, menjadi pengurus tak rasmi, memberi nasihat mengenai penampilan, malah menegur supaya sentiasa menjaga imej di depan peminat.

“Abah selalu pesan, ‘Peminat sokong kita, jadi kita kena bagi yang terbaik untuk mereka’,” katanya.

Ziana turut berkongsi pengalamannya menolak motor bapanya yang rosak dan pengalaman itu sentiasa tersemat dalam memorinya.

“Saya masih ingat memori bersama abah, antaranya pengalaman menolak motor rosak ketika sama-sama membeli kain untuk baju persembahan, atau ketika dia sibuk memastikan semua persiapan raya siap dari hujung rambut ke hujung kaki.

“Dia seorang yang rajin, teliti, dan sangat penyayang. Abah juga seorang pengkritik tegas. Setiap kali kami ada konsert, dialah yang paling teruja.

“Tetapi dia juga selalu kata, ‘Abah sebenarnya tak boleh tengok kamu menyanyi. Abah sedih. Orang nampak kamu senang di pentas, tapi Abah tahu betapa susahnya kamu berusaha’.

“Kata-kata itu tersemat dalam ingatan kami. Dia faham pengorbanan kami mencari rezeki melalui seni. Kini, abah sudah tiada. Yang tinggal hanyalah doa dan kenangan.

“Tetapi kami bersyukur kerana dapat bersama-sama menjaganya hingga ke akhir hayat. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya dan menempatkannya dalam kalangan orang beriman,” katanya.

Allahyarham Zin menghembuskan nafas terakhir pada usia 87 tahun di kediaman keluarganya di Subang Permai, Selangor, sekitar jam 2.50 petang.

Jenazah kemudian selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Elmina kira-kira jam 7 malam.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top