am@hmetro.com.my
Kota Bharu: “Sebelum ini abang ipar tak pernah bertindak agresif, tidak pernah pukul isteri atau anak,” kata bapa berusia 30 tahun yang anak lelakinya parah dipukul dengan tukul oleh bapa saudara sendiri, semalam.
Menurut lelaki itu, abang iparnya, 46, yang meninggal dunia selepas terbabit kejadian itu turut mempunyai hubungan baik dengan anak sulungnya yang kini dirawat di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian.
Menceritakan semula kejadian, katanya, sebelum insiden, dia mengambil anak lelakinya yang berusia tujuh tahun dan anak abang iparnya berusia lapan tahun pulang dari sekolah pada 12.40 tengah hari.
“Saya jarang letak anak di rumah abang ipar (suspek), cuma semalam kebetulan ambil anak dan anak dia, sebelum anak minta nak duduk di rumah suspek sebab nak bermain dengan sepupunya.
“Jadi saya tinggalkan dia di situ (rumah suspek) dan ke Kota Bharu atas urusan kerja,” katanya ketika ditemui, hari ini.
Menurutnya, pada 4.30 petang hari kejadian, dia menerima panggilan telefon daripada kakaknya iaitu isteri suspek, memaklumkan suspek memukul anaknya menggunakan tukul sebelum bergegas ke rumah itu di Bachok.
Katanya, ketika ditemui, anaknya dalam keadaan tertiarap dan berlumuran darah di salah satu bilik seperti stor kecil di dalam rumah berkenaan.
“Kakak beritahu ketika kejadian dia sedang tidur, manakala anak-anak (tiga orang termasuk mangsa) bermain di ruang tamu, manakala seorang lagi anak kakak berusia 14 tahun sedang mandi,” katanya yang memaklumkan anaknya masih kritikal.
Polis menerima laporan mengenai kejadian itu pada 5.15 petang dengan suspek kemudian ditemui meninggal dunia di Pantai Melawi, kira-kira tiga kilometer dari lokasi kejadian.
Setakat ini polis menahan wanita berusia 36 tahun (isteri suspek) untuk siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001.
Suspek kes pukul anak saudara alami halusinasi, terbabit kes dadah
© New Straits Times Press (M) Bhd




