am@hmetro.com.my
Kota Bharu: Memakai baju kimono sambil mengutip sampah sarap sekitar bandar ini secara sukarela.
Itu antara usaha murni seorang pemuda yang berkorban masa dan tenaga dengan mengutip sampah di kawasan pelancongan termasuk di Jalan Istana, Gelanggang Seni dan Lembah Sireh di sini.
Aktiviti itu dilakukan bagi memastikan kawasan yang dikunjungi orang ramai termasuk pelancong asing sentiasa bersih.
Nik Ahmad Kasyfi Nik Zamani, 30, turut membawa bakul yang diletakkan di bahagian belakang dan kayu untuk memudahkannya mengambil sampah termasuk di dalam longkang, kawasan semak dan di tepi jalan.
Katanya, dia secara sukarela mengutip sampah di kawasan tumpuan pelancong bagi memastikan ia sentiasa bersih.
“Saya menjadikan Jepun sebagai inspirasi untuk terus menjaga kebersihan di negeri ini.
“Usaha ini dilakukan sejak tahun 2013 secara bersendirian bagi memenuhi masa lapangnya.
“Namun sejak tahun lalu, aktiviti ini semakin mendapat perhatian selepas saya membuat siaran langsung di laman sosial TikTok,” katanya ketika ditemui di Lembah Sireh, di sini.
Anak keenam daripada tujuh beradik itu berkata, perkongsian di laman sosial itu bertujuan mendidik dan mengajak orang ramai supaya menjaga kebersihan.
“Saya turut berinteraksi dengan penonton dalam loghat Kelantan dan bahasa Jepun yang dipelajari melalui siaran YouTube dan video.
“Alhamdulillah, ramai yang memberi reaksi positif dan menyokong usaha saya untuk meneruskan kerja sukarela ini. Saya juga ingin mengajak orang ramai terutama rakyat Kelantan supaya sama-sama menjaga kebersihan,” katanya.
Menurutnya, walaupun aktiviti itu tidak menjana pendapatan, namun ia memberi kepuasan kerana dapat memberi khidmat kepada masyarakat dan negeri tercinta secara sukarela.
Dia bersyukur kerana aktiviti itu turut membuka mata orang ramai untuk sama-sama melakukannya.
© New Straits Times Press (M) Bhd