am@hmetro.com.my
Kota Kinabalu: Pengorbanan seorang abang berakhir tragedi apabila dia ditemukan lemas selepas terjun ke laut untuk menyelamatkan adiknya yang terjatuh susulan pelanggaran bot ketika memancing di perairan antara Sepanggar dan Pulau Gaya, semalam.
Dalam kejadian kira-kira 5 pagi itu, mangsa, Jeksin Eming, 40, dipercayai bertindak terjun ke laut bagi membantu adiknya, Jaidin Eming, 30, yang terjatuh selepas bot dinaiki mereka dilaporkan berlanggar dengan sebuah lagi bot.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Ordine Gilu berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 9.47 pagi sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi yang terletak kira-kira lima kilometer dari balai.
Katanya, seramai 10 anggota bersama satu jentera Fire Rescue Tender (FRT), sebuah pacuan empat roda dan sebuah bot penyelamat dikerah ke lokasi dan tiba pada 9.56 pagi.
“Seorang mangsa berjaya dinaikkan ke bot dan dihantar ke Hospital Wanita Dan Kanak-Kanak Sabah, namun disahkan meninggal dunia pada 4 petang.
“Seorang lagi mangsa masih belum ditemukan dan operasi mencari serta menyelamat (SAR) dijalankan bersama Pasukan Polis Marin (PPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM),” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, operasi pencarian dilakukan dalam radius tiga batu nautika dari lokasi kejadian membabitkan kekuatan 25 anggota pelbagai agensi.
“Operasi ditangguhkan pada 5.06 petang dan akan disambung semula pagi ini.
“Maklumat akan dikemas kini dari semasa ke semasa,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




