am@hmetro.com.my
Muar: “Belum ada kesahihan abang saya meninggal dunia. Saya minta jasa baik semua pihak padam hantaran itu,” kata Tengku Abdul Aziz Tengku Zainudin, 30, adik kepada pempengaruh, Tengku Nizaruddin Tengku Zainudin, 38, selepas kereta dinaiki terjunam dalam Sungai Tui, Bukit Kepong, di sini, hari ini.
Gesaan itu susulan laporan mengatakan abangnya sudah meninggal dunia sedangkan yang ditemukan adalah kereta Perodua Axia yang dipandu lelaki itu pada jam 3 petang tadi.
“Saya sebagai adik kandung kepada Ija Nizaruddin (panggilan abangnya), meminta jasa baik semua mengatakan dia meninggal dunia, sila padam hantaran itu.
“Masih belum ada kesahihan dan polis masih mencari abang saya,” kata Tengku Abdul Aziz.
Dalam pada itu, Tengku Abdul Aziz berkata, kehilangan abangnya pada mula dianggap gurauan oleh keluarga memandang dia kerap membuat kejutan.
Katanya, kali terakhir dia bertemu abangnya jam 2 petang semalam ketika mereka berdua bergerak dari Johor Bahru untuk ke Parit Jawa dengan menaiki kereta secara berasingan.
“Sebelum itu, kami bertemu kerana ada urusan perniagaan dan kami kemudiannya bergerak ke lokasi berlainan memandangkan ada perkara perlu diselesaikan.
“Ija memberitahu dia mahu ke bengkel rakannya di Parit Jawa dan kami dimaklumkan kali terakhir dapat menghubunginya 4 petang semalam. Selepas itu, kami gagal hubungi sehingga kini,” katanya.
Menurutnya, lokasi penemuan kereta abangnya ditemukan hanya beberapa kilometer sebelum mereka bertemu sebelum itu.
“Selepas gagal dihubungi, kami cuba menelefon rakan bertanyakan Ija tapi mereka memberitahu dia tidak datang ke bengkel,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz mengesahkan kejadian itu dan berkata, pihaknya dengan bantuan Bomba dan Penyelamat Pagoh dan Muar dalam proses menaikkan kereta dari sungai itu.
Katanya, sehingga kini, tiada mangsa ditemukan dan pasukan penyelamat giat menjalankan operasi pencarian lelaki itu.
“Polis meminta orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tampil atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar di talian bagi membantu siasatan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd