Abd Rahman guna arang untuk rasa 'smoky', buat char kuetiau lebih sedap

Abd Rahman guna arang untuk rasa 'smoky', buat char kuetiau lebih sedap

Seremban: Di sebalik kepulan asap dan bunyi desir kuali panas, Abd Rahman Hassan, 44, gigih mencipta kelainan dengan menggunakan arang untuk memasak char kuetiau yang kian mendapat perhatian pelanggan di gerainya di bazar Ramadan Medan Nusari, Sendayan, di sini.

Bapa kepada lima anak itu berkata, dia memilih untuk menggunakan arang dalam penyediaan hidangan itu bagi menghidupkan kembali kaedah memasak secara tradisional selain mengekalkan keenakan rasa masakan seperti dahulu.

Abd Rahman berkata, minat terhadap hidangan berkenaan turut didorong oleh isterinya yang merupakan peminat char kuetiau hingga menjadi pencetus untuk dia mendalami teknik memasak menggunakan arang.

“Masak menggunakan arang membantu menghasilkan aroma tersendiri yang sukar ditandingi dapur gas selain mengekalkan keaslian resipi char kuetiau yang berunsurkan masakan Cina. Saya juga menggunakan resipi yang diolah sendiri.

“Kalau guna dapur gas rasa tak sama, guna arang bau dia lebih kuat dan ada ‘jiwa’, lebih ‘smoky’ itu yang buat rasa lebih sedap dan pelanggan cari, malah ada yang jadi pelanggan setia selepas mencuba kali pertama,” katanya ketika ditemui Bernama di bazar Ramadan berkenaan hari ini.

Anak kelahiran Bagan Serai, Perak itu yang baru lima bulan berniaga char kuetiau arang di sekitar Nusari Aman berkata, sebelum ini, pelanggan terpaksa ke Kuala Pilah jika ingin menikmati menu itu kerana kaedah memasak unik itu masih jarang ditemui di daerah ini.

Abd Rahman yang pernah bekerja sebagai penasihat kewangan sebuah syarikat, berkata perniagaannya mula mendapat perhatian selepas tular di media sosial sejak bulan lepas, sekali gus menarik pelanggan baharu termasuk golongan tua yang “rindukan” char kuetiau cita rasa lama.

“Sebelum ini, saya terima 40 pelanggan setiap hari tetapi selepas tular boleh cecah 100 orang dengan jualan hampir RM1,000 setiap hari,” katanya yang kini menjadikan perniagaan itu sebagai sumber pendapatan utama.

Dalam pada itu, bapa kepada lima anak itu mengakui perjalanan hidupnya tidak mudah apabila anak sulung lelakinya yang berusia 20 tahun disahkan menghidap kanser tulang hingga terpaksa menjalani pembedahan dan kini berstatus orang kurang upaya (OKU).

“Saya anggap ini ujian dan rezeki berniaga ini juga jalan yang Allah beri selepas berhenti sebagai penasihat kewangan, saya cuma nak buat orang gembira dengan makanan. Bila pelanggan suka, itu sudah cukup,” katanya dan menambah harga sepinggan char kuetiau bermula daripada RM7 hingga RM15 mengikut jenis, termasuk kerang dan udang.

Sementara itu, pelanggan, Mohd Hafiz Azman, 34, berkata, hidangan tersebut lebih beraroma dengan rasa asap arang dan mengingatkannya kepada masakan serupa yang pernah dinikmati semasa ke Taiping, Perak.

“Sebab itu saya ulang beli, kerana rasanya sedap dan berbeza daripada char kuetiau biasa yang pernah saya makan di sini, selalunya kita makan char kuetiau berkuah tapi yang ini kering ala masakan Cina,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top