
Abdul Halim (dua dari kiri) memulakan tugas secara rasmi pada Rabu.
PUTRAJAYA – Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu, Datuk Seri Abdul Halim Aman memulakan tugas secara rasmi pada Rabu.
Beliau menggantikan Tan Sri Azam Baki yang menamatkan perkhidmatan selepas 42 tahun berkhidmat dalam SPRM pada Selasa.
Abdul Halim dilantik menggantikan Azam menerusi surat pelantikan yang dikeluarkan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar pada 25 April lalu.
Menurut kenyataan SPRM, Abdul Halim dilantik bagi tempoh kontrak selama dua tahun berkuat kuasa mulai 13 Mei 2026 hingga 12 Mei 2028.
SPRM turut merakamkan ucapan tahniah dan selamat menjalankan tugas kepada beliau dalam menerajui usaha memperkukuh integriti, tadbir urus serta agenda pembanterasan rasuah negara.

Abdul Halim bersalaman dengan warga SPRM.
Abdul Halim dilahirkan pada 10 Mac 1957 di Kampung Alai, Melaka dan memperoleh Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (Kepujian) dari Universiti Malaya pada 1982 sebelum menamatkan Ijazah Sarjana Undang-Undang di University of Hull pada 1996.
Beliau memulakan kerjaya dalam Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan pada 1982 serta berkhidmat dalam pelbagai jawatan selama 22 tahun, termasuk sebagai Peguam Persekutuan di Jabatan Peguam Negara, majistret di Kluang dan Muar, Penolong Kanan Pendaftar di Mahkamah Tinggi Melaka serta Hakim Mahkamah Sesyen di beberapa lokasi termasuk Tawau, Sandakan, Kuala Lumpur, George Town dan Ampang.
Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Peguam Kanan Persekutuan di Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Jabatan Peguam Negara, selain menjadi Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang, Timbalan Pendakwa Raya serta Ketua Bahagian Penyelidikan di Pejabat Ketua Hakim Negara.
Pada 2005, beliau dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman di Mahkamah Tinggi Temerloh sebelum dipindahkan ke Kuantan pada 2006. Beliau dinaikkan pangkat sebagai Hakim Mahkamah Tinggi pada 2007.
Abdul Halim kemudiannya berkhidmat di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 2009 dan Mahkamah Tinggi Johor Bahru pada 2010 sebelum tempoh perkhidmatan panjangnya di Mahkamah Tinggi Shah Alam dari 2013 hingga persaraan wajibnya pada Mac 2023.



