Illahhafiz.abdulaziz@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Tan Sri Abdul Hamid Bador akan menyerahkan kepada pihak polis berhubung dakwaannya mengenai campur tangan menteri dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM)
Bagaimanapun, katanya, beliau tidak akan membuat laporan polis terhadap perkara berkenaan.
“Saya serahkan kepada pertimbangan Datuk Seri Acryl (Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani) dan pegawainya.
“Ia tidak memerlukan saya untuk membuat laporan polis,” katanya pada sidang akhbar yang disiarkan di Facebook PDRM, hari ini, sebagai mengulas pandangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan untuk memintanya membuat laporan polis.
Sebelum itu, Abdul Hamid menyerahkan tugas KPN kepada Acryl Sani, disaksikan Timbalan Menteri Dalam Negeri I, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said mewakili Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Semalam, Takiyuddin berkata, mana-mana pihak perlu membuat laporan mengikut saluran yang betul jika ada campur tangan dalam PDRM, bagi membolehkan proses siasatan berjalan mengikut undang-undang sedia ada.
Beliau juga menasihatkan penjawat awam, pegawai kerajaan terutama ketua perkhidmatan dalam kerajaan supaya lebih berhati-hati apabila bercakap mengenai perkara berkaitan undang-undang.
Jumaat lalu, Abdul Hamid dilapor mencadangkan SPP tidak lagi dipengerusikan menteri kerana enggan campur tangan dalam pengurusan pasukan polis, sebaliknya melantik individu tidak berpihak seperti bekas ketua hakim atau hakim.
Sementara itu, Abdul Hamid berkata, beliau akan meneruskan aktiviti kegemarannya iaitu berkebun dan tidak akan mencampuri pengurusan PDRM.
“Tidak ada salahnya saya memerhati, memantau atau memberi pandangan, tetapi saya tidak akan berbuat demikian kerana saya mahu berada dalam keadaan aman, senyap lakukan apa yang saya suka kerana saya ada keyakinan terhadap kualiti yang ada pada Acryl Sani. Beliau adalah yang paling berjaya setakat ini.
“Saya tidak akan ‘poke my nose here and there’ (mencampuri urusan) kecuali ada yang cuba untuk ‘provoke’ saya,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




