Abdullah Sani, Syed Yazid bersaing jawatan Presiden KLFA

Abdullah Sani, Syed Yazid bersaing jawatan Presiden KLFA

firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pertandingan satu lawan satu bagi merebut kerusi Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) menyaksikan calon hangat Syed Yazid Syed Omar akan ditentang Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid menjelang kongres pemilihan KLFA, 12 Oktober depan.

Pertembungan itu disahkan selepas tempoh penyerahan borang pencalonan ditutup, petang tadi dengan semua jawatan bakal dipertandingkan apabila tiada seorang pun menang tanpa bertanding.

Menurut sumber, Syed Yazid yang juga Naib Presiden KLFA sebelum ini meraih pencalonan tertinggi membabitkan 15 sokongan daripada 27 ahli gabungan persatuan itu.

Manakala Abdullah Sani yang menjadi pemangku Presiden mendapat 12 sokongan, sekali gus melepasi 40 peratus syarat pencalonan bagi merebut kerusi Presiden KLFA.

“Untuk jawatan Presiden akan ada pertandingan selepas masing-masing berjaya mendapatkan 40 peratus sokongan, dengan Syed Yazid mendapat sokongan paling tinggi.

“Bagi jawatan lain akan ada pertandingan. Esok pihak sekretariat KLFA akan mengeluarkan senarai penuh calon dan pengesahan setiap pihak yang bertanding,” kata sumber.

Untuk jawatan Timbalan Presiden, difahamkan akan berlakunya pertembungan empat penjuru membabitkan dua calon dari kem Syed Yazid dan dua lagi mewakili kem Abdullah Sani.

Tokoh korporat berjaya, Datuk Sri Wong Yeon Chai dan orang lama bola sepak tanah air, Datuk Kamarudin Hassan akan dicabar oleh pengarah dan penerbit terkenal, Datuk Afdlin Shauki yang bergandingan bersama Datuk Azril Mat Drus untuk merebut dua kerusi bagi jawatan Timbalan Presiden itu.

Manakala lapan calon akan bersaing untuk jawatan Naib Presiden membabitkan bekas legenda KL, Datuk Ramlan Askolani, Datuk Sham Shamrat, Mohd Iqmal Haqimie dan Nor Asyikin Jaafar yang berada di kem Syed Yazid.

Sementara empat lagi nama membabitkan gabungan Senator Datuk Hishamuddin Yahya, Ibrahim Sani Asnan Mohamad, Mohd Hamidi Abu Bakar dan Azli Yusof melengkapkan ‘pasukan’ Abdullah Sani.

Bagi jawatan anggota Exco KLFA pula, seramai 19 calon berentap bagi mengisi 10 tempat.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top