am@hmetro.com.my
Kuala Terengganu: Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi, 85, adalah seorang tokoh yang tenang, berhemah dan membawa pendekatan kesederhanaan dalam pentadbirannya.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, pemergian Perdana Menteri kelima itu satu kehilangan besar kepada negara, terutama dalam sejarah kepimpinan tanah air.
“Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh beliau, diampunkan segala dosanya, diterima segala amal solehnya dan ditempatkan dalam kalangan hamba-Nya yang beriman serta beramal soleh.
“Kita merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Abdullah yang kembali ke rahmatullah malam tadi,” katanya melalui hantaran dimuat naik di Facebook (FB) hari ini.
Abdullah yang lebih mesra dengan panggilan Pak Lah meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur, 7.10 malam tadi.
Abdullah dilaporkan dimasukkan ke IJN Kuala Lumpur pagi semalam selepas mengalami sesak nafas.
Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, Allahyarham Abdullah adalah seorang negarawan ulung yang banyak berjasa kepada negara.
Katanya, Abdullah dikenang sebagai pemimpin berjiwa rakyat, berhemah tinggi dan disanjung sebagai Bapa Pembangunan Modal Insan Malaysia.
“Di bawah pentadbirannya selama kira-kira tujuh tahun bermula Oktober 2003 hingga April 2009, Abdullah memberi keutamaan kepada pembangunan modal insan, pengukuhan integriti dalam tadbir urus serta ketelusan dalam institusi kerajaan.
“Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh,” katanya melalui hantaran dimuat naik melalui FB Menteri Besar.
© New Straits Times Press (M) Bhd




