ABKL bakal anjur kejohanan November ini

ABKL bakal anjur kejohanan November ini

KUALA LUMPUR: Komuniti digital tempatan, Adik Beradik Kuala Lumpur (ABKL) terus melebarkan pengaruhnya dalam arena sukan elektronik apabila merancang penganjuran Adik Beradik Tournament Arena 2026 yang dijadual berlangsung November ini.

Ketua Pegawai Eksekutif ABKL, Muzammil Mudzakir berkata, kejohanan berkenaan merupakan kesinambungan daripada kejayaan ABKL Experience 2025 yang menjadi platform penting dalam memperkemas penganjuran acara berskala besar.

Katanya, pengalaman lalu banyak membantu ABKL memperkukuh perancangan termasuk dari segi sistem pertandingan dan pengurusan acara.

“Kami ini sebenarnya baru masuk edisi kedua penganjuran kejohanan. Dari ABKL Experience 2025, banyak perkara kami belajar dan ia digunakan untuk memperbaiki penganjuran tahun ini,” katanya ketika Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri ABKL 2026.

Tambah beliau, edisi kali ini memberi tumpuan kepada konsep pertembungan komuniti dalam suasana lebih kompetitif, khususnya membabitkan elemen ‘fighting’ dalam ekosistem permainan.

“Kami fokus kepada konsep pertarungan antara komuniti, sesuatu yang lebih dekat dengan budaya pemain kami,” jelasnya.

Mengulas persiapan, Muzammil memaklumkan perancangan kejohanan kini berada di fasa pembangunan sistem dan struktur pertandingan sebelum dimuktamadkan sepenuhnya.

“Kami masih dalam fasa persiapan. Jika semuanya berjalan lancar, November 2026 menjadi tarikh sasaran,” katanya.

Dari segi format, kejohanan itu bakal menampilkan aksi 10 lawan 10 dengan penyertaan terhad kepada pasukan terbaik yang dipilih.

“Kita hanya ambil 10 pasukan terbaik. Bukan semua akan bertanding, ia lebih eksklusif dan kompetitif,” ujarnya.

Selain itu, ABKL turut merancang memperluaskan acara dengan pengenalan elemen perlumbaan seperti motosikal dan kereta bagi mempelbagaikan cabaran.

Permainan berasaskan roleplay termasuk Grand Theft Auto kekal menjadi teras utama penganjuran kali ini, sekali gus mengukuhkan identiti komuniti berkenaan dalam arena e-sukan tempatan.

Pada masa sama, penyertaan akan dibuka terlebih dahulu kepada komuniti tempatan sebelum diperluaskan ke peringkat antarabangsa pada masa akan datang.

Majlis pengumuman itu berlangsung meriah di The Estate on Federal Hill, Bukit Damansara, dengan kehadiran beberapa ikon komuniti termasuk pelumba negara Hafizh Syahrin.

Penganjuran kejohanan ini dilihat sebagai langkah strategik ABKL untuk mengukuhkan jenama mereka sebagai antara komuniti digital berpengaruh di negara ini, di samping membuka ruang lebih luas kepada pembangunan ekosistem e-sukan tempatan.-UTUSAN

Scroll to Top