ferzalfie@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Adik Beradik Kuala Lumpur (ABKL) yang dikenali menerusi komuniti permainan dalam talian Grand Theft Auto (GTA) terus memperkukuh peranan sosial apabila menyalurkan lebih RM37,000 kepada golongan memerlukan menerusi program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Ihya Ramadan Adik Beradik x Rumah Anak Yatim At-Taqwa.
Program yang memasuki tahun kedua itu berlangsung di Le Meridien Putrajaya dan membabitkan 54 anak yatim dari Rumah Anak Yatim At-Taqwa, Putra Perdana, Puchong.
Mereka diraikan dalam majlis berbuka puasa selain menerima sumbangan baju dan beg sekolah, baju raya serta duit raya sebagai persiapan Aidilfitri.
Ketua Pegawai Eksekutif ABKL, Muzammil Mudzakir berkata, walaupun kos keseluruhan penganjuran tahun ini mencecah RM105,000, inisiatif berkenaan akan diteruskan sebagai acara tahunan.
“Ini antara usaha kami untuk kembali memberi kepada golongan memerlukan, selain mengeratkan hubungan dalam komuniti,” katanya.
Dalam perkembangan lain, ABKL turut merancang pelbagai inisiatif sepanjang 2026 bagi memperkukuh komuniti GTA Adik Beradik Role Play (ABRP) di platform FiveM yang semakin berkembang.
Antaranya termasuk penganjuran pertandingan secara fizikal sekitar November depan yang dijangka menjadi acara tahunan utama komuniti.
“Tahun ini tiada majlis makan malam. Kita fokus kepada pertandingan dalam komuniti dahulu.
“Selepas itu, kita rancang kembangkan ke peringkat antarabangsa, khususnya Asia Tenggara,” katanya.
Beliau berkatak ABKL turut merancang pendekatan baharu dengan turun padang bertemu pemain secara fizikal menerusi siri jelajah ke beberapa negeri.
Beliau berkata, konsep ‘touch some grass’ itu memberi peluang kepada pemain dan pengurusan komuniti berinteraksi secara bersemuka selain menghasilkan kandungan luar seperti vlog.
“Sebelum ini pertemuan lebih tertumpu pada acara hujung tahun.
“Tahun ini kita mahu lebihkan aktiviti luar talian dan bertemu komuniti secara fizikal. Lokasi dan tarikh akan diumumkan dari semasa ke semasa,” katanya.
Langkah itu mencerminkan evolusi komuniti permainan dalam talian yang bukan sekadar beraksi di alam maya, malah memberi impak positif kepada masyarakat sebenar.
© New Straits Times Press (M) Bhd




