Abot, Rambai bantu pujuk pindahkan gajah cedera dilanggar kenderaan

Abot, Rambai bantu pujuk pindahkan gajah cedera dilanggar kenderaan

am@hmetro.com.my

Kota Tinggi: Seekor gajah betina liar yang dipercayai cedera selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan di Jalan Johor Bahru–Mersing di sini, baru-baru ini, dipindahkan ke habitat lebih selamat oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia, semalam.

Operasi itu dijalankan dengan bantuan dua gajah denak iaitu Abot dan Rambai yang digunakan untuk memujuk dan menenangkan gajah liar terbabit sebelum dipindahkan.

Perhilitan dalam kenyataannya berkata, pemindahan dilakukan susulan kejadian tular yang memaparkan sebuah kenderaan melanggar gajah liar di Kilometer 50 jalan berkenaan, menyebabkan haiwan itu dipercayai cedera.

“Usaha ini bukan sahaja melindungi komuniti setempat, malah memastikan kelangsungan spesies gajah kita terus terpelihara,” katanya dalam kenyataan dimuat naik di Facebook hari ini.

Menurut Perhilitan, operasi berkenaan selesai sepenuhnya semalam dengan kerjasama pelbagai pihak serta pasukan Perhilitan Johor.

Harian Metro Rabu lalu melaporkan pasangan suami isteri berdepan detik cemas apabila kenderaan dinaiki mereka merempuh sekumpulan gajah dalam kejadian kira-kira 9 malam.

Klip video insiden itu yang tular turut memaparkan bunyi kuat gajah itu yang tercedera akibat kemalangan itu.

Difahamkan, kawasan berkenaan adalah laluan tetap haiwan liar itu melintas, selain keadaan gelap dan kurang pencahayaan dipercayai menjadi faktor menyumbang kepada kejadian berulang.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top