Abraham tinggalkan Chelsea sertai Roma

Abraham tinggalkan Chelsea sertai Roma

ROM: Penyerang Chelsea, Tammy Abraham melengkapkan perpindahan ke AS Roma dan menyertai bekas bos The Blues, Jose Mourinho dengan nilai perpindahan sekitar 40 juta euro (RM198 juta).

Dalam kenyataannya, Roma mengesahkan Abraham menandatangani kontrak selama lima tahun dan Chelsea akan ‘mengekalkan hak untuk peratusan terhadap nilai perpindahan penyerang itu pada masa akan datang.’

Media Itali melaporkan pemain berusia 23 tahun yang bakal menyarung jersi nombor sembilan yang ditinggalkan Edin Dzeko akan memperolehi 4.5 juta euro (RM22 juta) pada setiap musim.

“Anda boleh rasakannya apabila pasukan mahukan anda – dan Roma menunjukkan minat mereka serta merta,” kata Abraham.

“Roma adalah pasukan yang berhak untuk mencabar kejuaraan dan trofi. Saya berpengalaman memenangi trofi utama dan saya mahu kembali dalam pertandingan itu – jadi saya akan membantu pasukan ini mencapai perkara terbabit dan kembali ke tahap yang sepatutnya Roma berada.”

Abraham berhijrah ke Roma selepas Romelu Lukaku kembali ke Chelsea sekali gus mengurangkan lagi peluangnya untuk beraksi bersama pasukan yang sudah disertainya sejak 2004 itu.

Juara Eropah itu melabur dengan besar untuk memancing semula penyerang Belgium dari Inter Milan dan Thomas Tuchel seakan mengabaikan Abraham yang diserap masuk ke pasukan utama oleh bekas pengendali The Blues, Frank Lampard.

Dia meledak 30 gol buat Chelsea dalam semua pertandingan namun musim prolifiknya adalah ketika dipinjamkan ke Aston Villa dalam Liga Kejuaraan yang menyaksikan dia meledak 25 gol pada 2018/19.

Dia beraksi sebanyak enam kali bersama England sejak membuat penampilan pertama pada 2017 dan satu satu jaringannya dihasilkan ketika berdepan Montenegro pada 2019.

– AFP

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top