Putrajaya: Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abu Bakar Jais mengangkat sumpah jawatan dan taat setia sebagai Presiden Mahkamah Rayuan hari ini.
Abu Bakar, 63, yang menggantikan Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim yang bersara pada 3 Julai lalu, mengangkat sumpah di hadapan Hakim Mahkamah Rayuan kanan Datuk P. Ravinthran di Dewan Persidangan, Istana Kehakiman, di sini.
Turut mengangkat sumpah ialah Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Azizah Nawawi yang mencipta sejarah apabila menjadi wanita pertama dilantik sebagai Hakim Besar Sabah dan Sarawak, jawatan keempat tertinggi dalam Badan Kehakiman Malaysia.
Azizah, 63, berasal dari Sibu, Sarawak, yang menggantikan Tan Sri Abdul Rahman Sebli yang bersara pada 24 Julai, mengangkat sumpah jawatan di hadapan Hakim Dean Wayne Daly, hakim paling kanan di Sabah dan Sarawak.
Sementara itu, sebanyak enam hakim Mahkamah Tinggi mengangkat sumpah jawatan dan taat setia sebagai hakim Mahkamah Rayuan, iaitu Hakim Dr Shahnaz Sulaiman, Datin Paduka Evrol Mariette Peters, Ong Chee Kwan, Datuk Mohd Radzi Abdul Hamid, Leonard David Shim dan Nadzarin Wok Nordin.
Sebanyak 14 Pesuruhjaya Kehakiman pula disahkan sebagai Hakim Mahkamah Tinggi.
Mereka ialah Hakim Maslinda @ Linda Mohd Ainal, Datuk Faridz Gohim Abdullah, Dr Choong Yeow Choy, Saiful Azian Mokhtar, Evawani Farisyta Mohammad, S. Indra Nehru, M. Sumathi, Moses Susayan, Kan Weng Hin, Dr Wendy Ooi Su Ghee, Mohd Rosli Yusoff, Dr Hazlina Hussain, Roszianayati Ahmad dan Mohamad Haldar Abdul Aziz.
Pelantikan semua hakim berkuat kuasa pada hari ini.
Ketua Hakim Negara yang baharu Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh dan Hakim Besar Malaya Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim menyaksikan upacara angkat sumpah itu.
Antara yang hadir dalam majlis berkenaan ialah bekas-bekas Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat, Tun Md Raus Sharif dan Tun Arifin Zakaria, serta Presiden Badan Peguam Malaysia Mohamad Ezri Abdul Wahab.
© New Straits Times Press (M) Bhd