Rom: AC Milan menandatangani pemain tengah Switzerland, Ardon Jashari dari kelab Belgium, Club Brugge dengan kontrak sehingga Jun 2030, menurut kenyataan kelab Serie A itu, hari ini.
Butiran kewangan tidak didedahkan, namun media Itali melaporkan Milan membayar sekitar €34 juta (RM167.3 juta) ditambah €3 juta (RM14.7 juta) dalam bentuk bonus untuk mendapatkan pemain berusia 23 tahun itu.
Jashari menyertai Brugge dari kelab Switzerland, Luzern pada 2024 dan membuat 52 penampilan dalam semua pertandingan serta menjaringkan empat gol.
Pemain tengah bertahan itu, yang sudah empat kali mewakili negaranya, membantu Brugge mara ke pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara tahun ini.
Milan akan memulakan kempen Serie A menentang pasukan yang baru dinaikkan, Cremonese di laman sendiri pada 23 Ogos.
© New Straits Times Press (M) Bhd