AC Mizal dakwa bekas pekerja tabur fitnah

AC Mizal dakwa bekas pekerja tabur fitnah

Kuala Lumpur: Pemilik stesen televisyen, Suke TV dan pengacara, Datuk AC Mizal tampil menafikan beberapa tuduhan yang dilemparkan terhadapnya mengenai isu kegagalan menyelesaikan pembayaran gaji pekerja.

AC atau nama sebenarnya Mizal Zaini, 53, berkata, pihaknya tidak teragak-agak untuk membawa tuduhan yang dilemparkan bekas pekerjanya ke muka pengadilan.

“Kenyataan dan cerita yang tular mengenai kegagalan Suke TV membayar gaji tiga bulan kepada individu-individu itu di media sosial adalah tidak benar dan fitnah semata-mata.

“Saya sudah mengarahkan peguam saya dan syarikat Suke TV untuk mengambil tindakan undang-undang serta-merta terhadap individu terbabit berkenaan penularan fitnah ini.

“Biarlah mahkamah yang menentukan sama ada betul atau salah,” katanya menerusi satu kenyataan video yang dikirimkan kepada media.

Menurut AC, segala dakwaan yang dilemparkan dibuat oleh bekas pekerjanya yang ditamatkan kontrak kerana gagal mengikuti syarat perkhidmatan ditetapkan.

“Saya mahu jelaskan kenyataan fitnah itu disebarkan oleh beberapa bekas pekerja yang antaranya ditamatkan perkhidmatan oleh syarikat kerana didapati melanggar syarat-syarat perkhidmatan.

“Kami mempunyai semua bukti, tetapi kami tidak akan mencanangkan butiran ini kepada umum. Saya serahkan semuanya kepada undang-undang mahkamah dan keadilan negara kita,” katanya.

Dalam masa sama, AC menjelaskan tiada keperluan untuk memberikan sebarang kenyataan, namun dia terpanggil menceritakan hal sebenar bagi mengelakkan salah faham.

“Sepatutnya saya tidak perlu balas dan jawab kenyataan tular yang begitu tidak bertanggungjawab. Namun, memandangkan sudah ramai yang tahu dan bertanyakan isu ini, untuk mengelakkan salah faham dan fitnah saya perlu jelaskan di sini.

“Saya memohon semua untuk berfikir secara tenang. Hentikan sebaran fitnah dan cerita yang tidak berasaskan fakta sebenar.

“Pihak saya dan Suke TV sentiasa terbuka untuk berbincang dengan mana-mana pihak asalkan kita menggunakan saluran yang betul. Jangan menggunakan media sosial untuk kepentingan-kepentingan yang tertentu,” katanya.

Sebelum ini, tular di media sosial mengenai seorang personaliti TV yang mendedahkan tidak menerima tiga bulan gaji ketika berkhidmat di sebuah stesen televisyen milik seorang personaliti berpangkat Datuk.

Wanita itu mendakwa bukan hanya berdepan isu pembayaran gaji malah caruman di Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) turut tertunggak.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top