georgie@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Penghibur versatil Datuk AC Mizal, 54, kecewa dengan kenyataan komposer terkenal Ajai bahawa 4U2C tidak boleh adakan konsert tanpa mendapat kebenaran pemilik lagu-lagu yang dinyanyikan.
Menurut AC atau nama sebenarnya Mizal Zaini, kenyataannya seakan menggambarkan Ajai tidak faham perundangan muzik seperti yang terkandung dalam Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik Berhad (MACP).
“Saya kecewa bila dia kata 4U2C tak boleh buat konsert. Kenapa dia nak tutup periuk nasi kami? Apa masalah dia? Saya tak pernah kacau Exists nak buat konsert.
“Kami ada permit kelulusan daripada MACP, jadi maksudnya sekarang ini Ajai yang dah lama dalam industri pun tak tahu perundangan muzik di Malaysia,” katanya pada sidang media, hari ini.
AC mengakui terkejut kerana mengenali Ajai dengan rapat, komposer itu seakan menjurus kepada jejaskan ‘periuk nasi’ mereka yang cuma ingin hiburkan peminat pada konsert akan datang.
“Kenapa nak tutup ‘periuk nasi’ anggota-anggota kami ini. Maksudnya dia yang terlampau lama dalam industri yang asyik komen-komen dia pun sendiri tak tahu mengenai perundangan muzik di Malaysia,” katanya.
AC juga mempersoalkan hasrat Timbalan Presiden Muzik Malaysia, Ayob Abdul Majid untuk cuba-cuba memulihkan keadaan di antara 4U2C bersama penerbit Man Senoi.
“Konon nak jadi hero pertemukan kami dengan Man Senoi, kami tak perlukan itu. Sebelum nak buat konsert kami dah buat persiapan rapi. Kami juga orang profesional dalam industri.
“Kalau betul nak jadi hero, saya minta Ayob tanya pada Man Senoi mengenai royalti lagu kami di digital platform atau keluarkan suara kami,” katanya.
Dalam pada itu, AC sangat terharu dan kembali bersemangat apabila mendapat mesej dan sokongan rakan-rakan artis lain di kala mereka dihambat kontroversi terbabit.
“Pertama sekali, saya nak ucapkan terima kasih kepada Datuk Zainal Abidin yang hubungi saya dan mengatakan kepada saya untuk teruskan saja konsert kerana bukan salah kumpulan kami.
“Kemudian, Datuk Amy Search juga ada mesej dan menasihati saya untuk semak dalam platform digital.
“Yang ketiga, Datuk Norman Abdul Halim mesej saya dari Singapura selepas konsert terakhir mereka dan mengatakan kami boleh menyanyi lagu ciptaan KRU dan bersetuju dengan saya,” katanya.
Terdahulu, Ajai menjelaskan dia tidak berniat menutup pintu rezeki atau menyebelahi mana-mana pihak ketika mengulas kontroversi penganjuran konsert kumpulan 4U2C, iaitu WE 4U2C Live In Concert, baru-baru ini.
Ajai atau nama sebenar, Mohamad Faizal Maas, 50, berkata selain menjawab pertanyaan media, kenyataan dibuat adalah perkongsian fakta dalam hal berkaitan atas niat mendidik.
© New Straits Times Press (M) Bhd