Pengacara popular dan anggota kumpulan 4U2C, Datuk AC Mizal, 53, meluahkan rasa kecewa apabila ada segelintir pihak yang mengecam penganjuran konsert WE 4U2C Live In Concert.
Menurut AC, komen negatif yang ditinggalkan netizen bukan sahaja menjejaskan semangat mereka, malah memberi kesan emosi kepada beberapa anggota kumpulan sehingga ada yang mengalami tekanan perasaan dan jatuh sakit.
“Saya terkilan apabila ramai mengecam konsert ini. Komen negatif itu akan dibaca oleh keluarga dan anak-anak anggota 4U2C. Ada ahli kumpulan yang murung, ada juga jatuh sakit.
“Sejak sidang media lagi kami sudah jelaskan tujuan konsert ini hanyalah untuk hiburan dan mahu generasi sekarang melihat bahawa 4U2C pernah wujud di Malaysia,” katanya.
AC ditemui XTRA pada acara Busking Bersama 4U2C di Bukit Bintang, baru-baru ini.
@xtra_my Satu Bukit Bintang bergema… Hehehe meriah malam ni bila abang-abang 4U2C turun padang busking bersempena konsert mereka yang bakal berlangsung pada 15 September 2025! #xtramy #xtratonton ♬ original sound – XTRA
Konsert WE 4U2C Live In Concert dijadual berlangsung pada 15 September ini di Idea Live Arena, Petaling Jaya.
Tambah AC, mereka tidak mengharapkan semua orang menyukai 4U2C, namun memohon agar usaha untuk mencipta satu lagi kenangan manis bersama peminat dapat dihargai.
“Apabila ada komen tidak sepatutnya, anak-anak kami pun mula bertanya. Kami tidak minta orang luar menyukai kami, cukuplah sekadar menghargai dan menikmati pengalaman yang bakal tercipta.
“Kepada yang tidak suka, tidak mengapa. Tetapi jangan sampai melampaui batas. Sejujurnya saya sendiri tidak faham kenapa konsert ini jadi sasaran kecaman,” katanya.
Tambah AC, mereka tidak mengharapkan pujian tinggi daripada penonton, sebaliknya hanya mahu semua yang hadir menikmati persembahan istimewa yang mungkin menjadi penampilan terakhir 4U2C di pentas berskala besar.
“Konsert ini hanya berdurasi dua jam setengah. Selepas itu, tiada lagi konsert berskala besar untuk 4U2C. Rata-rata ahli kumpulan pun sudah berusia 50 tahun ke atas. Kami hanya mahu kalian meraikan satu lagi sejarah dalam hidup kami.
“Kami akan berusaha memberikan yang terbaik. Ramai tidak sedar bahawa tindakan mengecam itu sebenarnya satu bentuk buli maya. Budaya ini semakin menjadi kebanggaan sesetengah pihak yang gemar mengkritik artis.
“Saya selalu pesan kepada anggota lain supaya sentiasa kuat dari segi mental dan fizikal. Jangan tumbang dengan komen negatif, terus fokus dengan konsert,” katanya.




