anbia@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Di celah lumpur dan selut tebal, ribuan penduduk Aceh, Sumatera, Indonesia, yang menjadi mangsa ‘tsunami’ lumpur luar biasa kini hidup dalam keadaan getir tanpa bekalan elektrik secara stabil, air bersih serta makanan mencukupi.
Mereka masih berlindung di sekolah agama, masjid atau madrasah yang dijadikan pusat pemindahan sementara sejak dua minggu lalu sambil menempuh hari-hari perit.
Sejak bencana banjir ‘luar biasa’ melanda 26 November lalu, hidup mereka masih ditemani kelaparan, kegelapan dan ketidakpastian terhadap masa depan.
Ramai antara mereka yang menghuni tenda pengungsian (khemah perlindungan ) tanpa bekalan makanan dan air bersih mencukupi sejak dua minggu lalu.
Kesukaran bantuan untuk tiba di lokasi terpencil menyebabkan ramai mangsa terutama kanak-kanak terpaksa tidur dalam keadaan lapar hampir setiap malam.
“Kadang-kadang tiga sampai empat hari, barulah bekalan makanan tiba di sini,” luah beberapa mangsa yang menghuni tenda pengungsian di Kampung Raya Tambo, Biruen, Aceh.
Mereka ditemui kumpulan sukarelawan Muslim Care Malaysia (MCM) yang mula mengagihkan bantuan kemanusiaan sejak kelmarin.
Antara bantuan sumbangan segera disalurkan MCM adalah paket beras, minyak masak, gula, biskut, barangan makanan kering selain kain sarung, kain telekung serta bantuan kewangan tunai kepada mangsa.
Salah seorang penduduk mahu dikenali sebagai , Faisal, 30-an, hujan lebat yang membawa banjir besar di Aceh bukan sahaja menenggelamkan kampung-kampung malah meninggalkan lapisan lumpur tebal di dalam ribuan rumah penduduk.
Menurutnya, lumpur tebal itu menenggelamkan rumah hingga ke paras bumbung kediaman iaitu sekitar 2 meter ke 3 meter.
“Jika banjir biasa, penduduk hanya perlu membasuh semula rumah sebaik ai surut. Namun bencana kali ini luar biasa, banjir sebaliknya meninggalkan lumpur tebal yang sukar untuk dibuang.
“Amat mustahil untuk membersihkan lumpur ini walaupun menggunakan cangkul dan penyodok. Ia mungkin akan mengambil masa berbulan-bulan. Malah kawasan sekitar rumah dan ladang tanaman turut menjadi lautan lumpur tebal,” katanya.
Baginya, mangsa-mangsa banjir tidak lagi memiliki tempat untuk pulang.
“Rumah-rumah tertimbus dan tidak dapat dibersihkan, ini memaksa keluarga kami bergantung hidup di pusat pemindahan,” katanya.
Seorang lagi mangsa, Munza, 34, dari Kampung Raya Tambor, Aceh, masih terbayangkan saat cemas air deras menerjah rumahnya pada malam 26 November lalu.
Lebih memilukan, dia terpaksa memindahkan ibunya, Sumarni, 60-an, yang lumpuh akibat strok ke pusat pemindahan.
“Rumah kami tenggelam dalam lumpur likat tebal. Saya tak mampu bersihkan… terlalu tebal, terlalu berat. Kami tak boleh balik.” katanya sambil menahan sebak.
Mereka kini sudah dua minggu tinggal di pusat pemindahan. Masa yang dirasakan terlalu panjang bagi keluarga yang tidak tahu bilakah dapat memulakan hidup semula.
Sementara itu Ahli Lembaga Pengarah MCM, Tuan Asri Tuan Hussein berkata, rata-rata mangsa banjir besar ditemui mengadu menahan kelaparan selain bekalan air bersih sukar diperolehi.
“Mereka hanya menjamah biskut dan air mineral yang dikongsi. Bantuan beras yang disumbangkan MCM ini dimasak secara gotong-royong.
“Tanpa bekalan elektrik, air bersih dan kediaman, mangsa-mangsa banjir di Aceh kini berjuang melalui hari-hari yang melelahkan.
“Mereka tetap berharap bantuan dan itulah satu-satunya kekuatan yang masih tersisa,” katanya.
Beliau berkata, daerah lain yang turut terjejas teruk adalah Bireuen, Aceh, yang masih berdepan gangguan elektrik serta bekalan air bersih.
“Mereka hidup dalam keadaan bergelap tanpa lampu hampir setiap malam.
“Selain itu bencana sama turut memusnahkan sektor pertanian di Aceh yang menjadi sumber rezeki penduduk.
“Di daerah Bireuen sahaja, sebanyak 15,000 hektar sawah padi terjejas. Ini termasuk sekitar 5,500 hektar sawah yang tertimbus lumpur dan sistem saliran yang rosak,” katanya.
Menurutnya, jika keadaan berlarutan, mangsa banjir mungkin berdepan kekurangan makanan dan hilang pendapatan.
“Selain itu hospital, sekolah dan pejabat kejaraan mengalami kerosakan teruk selain banyak jambatan runtuh sehingga memutuskan hubungan.
“Berdasarkan maklumat diterima, sekitar 969 mangsa terkorban akibat banjir besar ini manakala ratusan lagi masih hilang,” katanya.
Asri berkata, MCM setakat ini sudah menyalurkan bantuan 625 pek makanan dan bantuan tunai bernilai keseluruhan RM76,000.
Delegasi diketuai Bendahari Agung MCM, Ustaz Ahmad Shukri Ismail. Turut serta, Penasihat MCM, Profesor Dr Mohd Mizan Aslam dan Setiausaha Agung, Ahmad Safuan Ujar.
Turut membantu adalah empat sukarelawan NGO Harmoni Prihatin Malaysia (HPM), Muslim Volunteer Malaysia (MVM) dan doktor Kumpulan Klinik Syifaq 24 Jam
Difahamkan Badan Bencana Nasional Indonesia (BNPB) kini sedang mempercepatkan pengagihan bantuan ke kawasan bencana termasuk laluan darat dan udara ke daerah – daerah sukar seperti Bireuen.
Ia melalui penyaluran bantuan logistik kepada mangsa dengan mengoptimumkan semua saluran yang ada membabitkan penghantaran 1,638.96 tan bantuan.
Ribuan Sukarelawan Kesiapsiagaan Bencana (Tagana) yang disokong kerajaan Indonesia bekerja tanpa henti melaksanakan operasi kemanusiaan dan menangani keperluan mendesak penduduk yang terjejas.
Sementara itu, Kementerian Komunikasi dan Digital Affairs Indonesia sedang menumpukan usaha memulihkan internet dan telekomunikasi di Aceh yang terjejas akibat banjir dan kerosakan infrastruktur.
Difahamkan status Tindak Balas Kecemasan Bencana akan dilanjutkan sehingga 13 Disember hadapan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




