Acha Septriasa dan suami sah bercerai

Acha Septriasa dan suami sah bercerai

serimah@bh.com.my

Jakarta: Selepas hampir setahun tinggal berasingan, rumah tangga pelakon filem Heart, Acha Septriasa, 35, berakhir apabila Mahkamah Agama Jakarta Pusat mensabitkan perceraian secara rasmi pada 19 Mei lalu.

Media tempatan melaporkan, keputusan itu dibuat selepas suaminya, Vicky Kharisma, gagal hadir ke sesi perbicaraan yang ditetapkan.

Acha difahamkan memfailkan permohonan cerai pada 12 Disember tahun lalu susulan pergolakan rumah tangga yang berpanjangan sejak Oktober 2021.

Menerusi salinan rasmi daripada Direktori Putusan Mahkamah Agung Republik Indonesia, dinyatakan pasangan itu sudah tidak tinggal sebumbung sejak Disember 2023, sekali gus menjadi titik mula kepada kemelut yang membawa kepada permohonan cerai.

“Bahawa plaintif dan defendan berpisah ranjang tidak dalam satu tempat kediaman bersama sejak Disember 2023 sehinggalah permohonan cerai didaftarkan pada 12 Disember 2024.

“Plaintif tidak ingin melanjutkan kehidupan bersama kembali dengan defendan,” demikian menurut dokumen permohonan berkenaan.

Menurut laporan media tempatan, rumah tangga mereka mula bergolak sekitar Oktober 2021 hingga November 2024, dengan pertengkaran berulang kali menjadi punca utama hubungan menjadi dingin.

Lebih menyedihkan, dalam setiap pertelingkahan itu, Vicky dikatakan kerap melafazkan cerai terhadap Acha, malah rekod menunjukkan sebanyak lima kali lafaz talak dilakukan, menyebabkan penyanyi Berdua Lebih Baik itu tidak lagi sanggup mempertahankan rumah tangganya.

“Ini membuat plaintif tidak reda terhadap defendan dan tidak berniat untuk meneruskan perkahwinan mereka,” petik kenyataan lanjut dalam dokumen itu.

Pasangan itu berkahwin pada 1 Disember 2016 dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Bridgia Kalina Kharisma, kini berusia tujuh tahun – AGENSI

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top