Acha teruja Mahalini nyanyi semula Sampai Menutup Mata

Acha teruja Mahalini nyanyi semula Sampai Menutup Mata

syafil.syazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: “Sejak kehadiranmu dalam industri muzik, kamu adalah salah satu kegemaran aku! Kamu pemilik lagu Sampai Menutup Mata.”

Komen penyanyi asal lagu Sampai Menutup Mata, Acha Septriasa yang meninggalkan komen pujian atas rakaman semula lagu itu oleh penyanyi, Mahalini.

Dalam komen yang ditulis Acha di video muzik rasmi Sampai Menutup Mata nyanyian Mahalini itu, bintang Indonesia mengakui lagu ini meninggalkan banyak kenangan buatnya ketika memulakan kariernya sebagai penyanyi lagu runut bunyi (OST).

“Mahalini, aku menonton video muzik ini ketika ia baru mencecah 70,000 tontonan. Terima kasih kerana menyampaikan lagu ini. Aku kembali mendengarnya selepas sekian lama tidak mendengarkannya.

“Jujur, banyak kenangan yang muncul dari lagu ini, terutamanya ketika aku baru memulakan kerjaya sebagai penyanyi ‘soundtrack’,” tulisnya di video yang dimuat naik saluran YouTube Hits Records itu. Tambah Acha, nyanyian Mahalini menjadikan lagu itu lebih bertenaga dan berbeza walaupun masih mengekalkan beberapa elemen.

“Banyak elemen lagu ini yang dikekalkan, tetapi kamu berjaya menjadikannya lebih bertenaga, berbeza, dan ada bahagian tertentu yang benar-benar membuatkan aku meremang,” tulisnya.

Sampai Menutup Mata ciptaan Melly Goeslaw dilancarkan pada 2006 dan menjadi OST filem Heart yang turut dibintangi Acha, Irwansyah dan Nirina Zubir.

Video muzik rasmi Sampai Menutup Mata versi Mahalini dimuat naik ke YouTube sejak dua hari lalu dan sudah ditonton hampir 1.3 juta tontonan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top