Acosta raih petak pertama di MotoGP Jepun

Acosta raih petak pertama di MotoGP Jepun

Motegi, Jepun: Pelumba Sepanyol, Pedro Acosta mencipta sensasi apabila menamatkan kedudukan tempat pertama pada sesi kelayakan Grand Prix MotoGP Jepun ketika pendahulu kejuaraan Jorge Martin pula tersingkir.

Acosta yang juga pelumba pasukan Red Bull GasGas Tech3 merangkul petak pertamanya dengan melakar satu minit 43.018 saat (s) di Motegi, 0.246s di hadapan juara dunia musim lalu dari Itali, Francesco Bagnaia.

Dengan kejayaan itu, Acosta yang berusia 20 tahun muncul pelumba ketiga termuda pernah menduduki petak pertama untuk perlumbaan MotoGP.

Jelas Acosta, dia sangat gembira dengan kejayaan itu dan mengakui semakin menemui rentak untuk cuba memburu kejuaraan di Jepun.

“Kami perlu gembira kerana kami melihat daripada empat perlumbaan terakhir, lima perlumbaan kami boleh meraih sesuatu dan prestasi pasukan semakin meningkat dalam setiap perlumbaan.

“Kami perlu gembira dan tenang untuk mengharungi saingan ini. Secara keseluruhannya gembira.

“Kami mempunyai peluang yang baik hari ini dan esok dan kami perlu mengambilnya dengan cara yang baik,” katanya.

Maverick Vinales dari Sepanyol di tempat ketiga, dengan catatan masa 0.423 di belakang Acosta.

Enea Bastianini dari Itali, yang menduduki tempat ketiga dalam kedudukan keseluruhan kejuaraan akan bermula di barisan kedua grid selepas menduduki tempat keempat.

Brad Binder dari Afrika Selatan pula yang menamatkan saingan terpantas dalam sesi latihan pada Khamis, berada di tempat kelima, manakala Franco Morbidelli dari Itali di tempat keenam.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top