Barcelona: Pelumba KTM Factory Racing, Pedro Acosta meraih petak utama Grand Prix (GP) MotoGP Catalunya selepas muncul pelumba terpantas dalam sesi kelayakan, hari ini, ketika pendahulu keseluruhan, Marco Bezzecchi mengalami kemalangan.
Acosta yang tampil cemerlang dalam sesi latihan di Litar Barcelona semalam, meneruskan rentak sama apabila mencatat masa terpantas 1 minit 38.068 saat (s).
Pelumba Sepanyol itu yang bermula di petak utama buat kali kedua dalam kariernya akan ditemani Franco Morbidelli dan juara GP Catalunya musim lalu, Alex Marquez di barisan depan.
“Saya gembira kerana sudah lama menunggu saat ini.
“Nampaknya semuanya semakin menjadi walaupun kami masih ada banyak kerja perlu dilakukan,” kata Acosta yang meraih petak utama pertamanya dalam MotoGP di Jepun pada 2024.
Kejayaan itu juga menghadiahkan petak utama pertama buat KTM dalam tempoh enam tahun sejak Pol Espargaro melakukannya di Valencia pada 2020.
Sementara itu, pelumba Aprilia Racing, Bezzecchi yang mendahului kedudukan keseluruhan dengan kelebihan satu mata di depan Jorge Martin terjatuh sebelum percubaan terakhir dan akan memulakan perlumbaan dari petak ke-12.
Martin yang menjuarai GP Perancis di Le Mans minggu lalu sekadar mencatat masa kesembilan selepas bergelut sejak sesi latihan semalam.
Juara musim lalu, Marc Marquez tidak beraksi selepas menjalani pembedahan pada bahagian kaki kanan dan bahu.
Perlumbaan pecut berlangsung lewat hari ini sebelum aksi sebenar GP dijadual berlangsung esok.
© New Straits Times Press (M) Bhd




