bhnews@bh.com.my
PUTRAJAYA: Kluster penularan COVID-19 menunjukkan peningkatan sebanyak 17 kluster hari ini yang dikesan di 10 negeri.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kebanyakan kluster yang dikesan hari ini membabitkan komuniti, tempat kerja, kluster pendidikan termasuk di bawah Kementerian Pendidikan, keagamaan, kumpulan berisiko tinggi dan pusat tahanan.
Katanya, satu kluster yang dikesan ialah Kluster Taman Bukit Hijau iaitu membabitkan kumpulan berisiko tinggi.
“Kluster ini dikesan di daerah Cheras apabila kes indeks (iaitu kes ke-388,685) dilaporkan positif COVID-19 pada 24 lalu hasil saringan individu bergejala.
“Kluster ini membabitkan pekerja dan penghuni di pusat jagaan warga emas yang terletak di Taman Bukit Hijau, Cheras dan sehingga kini sudah menjangkiti 11 kes,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Dr Noor Hisham berkata, kluster lain yang dikesan ialah Kluster Nanga Tajam di Selangau dan Sibu di Sarawak serta sudah menjangkiti 34 kes.
“Turut dikesan ialah Kluster Sungai Ranan di daerah Kanowit, Sarawak serta sudah menjangkiti 31 kes; Kluster Sungai Ngungun (Kanowit, Sarawak) menjangkiti 27 kes serta Kluster Kampung Bergosong (Tawau) menjangkiti 21 kes.
“Selain itu ialah Kluster Kampung Hilir Alor Gajah (Melaka) menjangkiti 18 kes, Kluster Kemayang (Bachok, Tumpat dan Kota Bharu) menjangkiti 15 kes dan Kluster Jalan Taming Dua (Hulu Langat) menjangkiti 12 kes,” katanya.
Katanya, kluster lain yang dikesan ialah Kluster Air Padang (Miri dan Kuching) menjangkiti 19 kes serta Kluster Perusahaan Baru Dua (Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah, Seberang Perai Selatan dan Timur Laut di Pulau Pinang) menjangkit 113 kes.
“Selain itu Kluster Tapak Bina Jalan Todak Satu (Seberang Perai Tengah di Pulau Pinang) menjangkiti 23 kes; Kluster Jalan Wau (Petaling dan Sepang) menjangkiti 37 kes serta Kluster Chersonese (Kerian) menjangkiti 17 kes.
“Bagi Kluster Jalan Agama (Miri) menjangkiti 38 kes; Kluster Jalan Dataran (Seremban, Port Dickson, Jempol, Jelebu dan Tampin) menjangkiti 96 kes dan Kluster Pagar Rimba (Johor Bahru) menjangkiti 12 kes,” katanya.
Dr Noor Hisham berkata, kluster terakhir yang dikesan ialah Kluster Jalan Sultanah di daerah Kluang, Johor serta sudah menjangkiti 22 kes.
© New Straits Times Press (M) Bhd