Ada cubaan pengaruh pengundi PRK Nenggiri agar tidak keluar mengundi – Polis

Ada cubaan pengaruh pengundi PRK Nenggiri agar tidak keluar mengundi – Polis

am@hmetro.com.my

Kota Bharu: Polis Kelantan mengesan cubaan pihak tertentu mempengaruhi pengundi agar tidak menunaikan hak dan tanggungjawab pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Nenggiri, Sabtu ini.

Ketuanya, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, pihaknya akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang tidak bertanggungjawab, sengaja menimbulkan provokasi melampau untuk menggugat sistem demokrasi negara.

“Polis memandang serius dan tindakan tegas akan diambil kepada mereka yang mengeluarkan sebarang kenyataan yang menakut-nakutkan individu serta menimbulkan provokasi melampau sehingga boleh mengganggu gugat sistem demokrasi dan ketenteraman awam.

“Ia sebagaimana yang termaktub di dalam Seksyen 4A(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 iaitu kesalahan mengembangkan perasaan jahat atau permusuhan.

“Ingin ditegaskan kita akan memastikan perjalanan PRK Nenggiri dapat dijalankan tanpa adanya sebarang halangan,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Muhamad Zaki berkata, keselamatan pengundi terjamin dan mereka boleh keluar mengundi tanpa rasa ragu dan bebas memilih wakil rakyat tanpa dipengaruhi mana-mana pihak.

Katanya, polis memuji parti atau individu yang menjalankan kempen secara berhemah dan mematuhi kehendak pilihan raya, tanpa cuba mengancam ketenteraman awam.

“Inilah yang sepatutnya ditekankan oleh semua pemimpin parti politik dan kita berharap PRK kali ini boleh dijadikan contoh kepada pilihan raya lain,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top