Personaliti media sosial, Ameera Khan, adik kepada selebriti terkenal Noor Neelofa, tampil berkongsi luahan penuh makna menjelang tahun baharu 2026 menerusi Instagram Story (IGs), sekali gus mencetuskan perhatian warganet.
Menerusi perkongsian tersebut, Ameera menyifatkan tahun lalu sebagai tempoh yang baik dalam hidupnya dan meluahkan rasa syukur terhadap individu-individu yang pernah menjadi sebahagian daripada perjalanan hidupnya, termasuk fasa yang kini telah berakhir secara senyap.
“Tahun lalu adalah tahun yang baik dan saya sangat bersyukur dengan semua yang pernah menjadi sebahagian daripada hidup saya, termasuk fasa yang berakhir secara senyap.,” tulisnya.
Menurut Ameera, berakhirnya sesuatu fasa tidak semestinya membawa makna negatif, sebaliknya boleh menjadi titik permulaan kepada sesuatu yang lebih baik.
“Kadang-kadang, apabila sesuatu itu berakhir, ia bukan perkara buruk, sebaliknya demi kebaikan. Alhamdulillah, itulah yang berlaku kepada saya.,” katanya lagi.
Dalam masa sama, Ameera turut menghargai keprihatinan ramai yang menghubunginya, namun memohon agar orang ramai menghormati ruang peribadinya.
“Saya menghargai setiap mesej dan keprihatinan yang diterima kerana ia datang daripada rasa kasih dan sayang. Namun, apa yang saya harapkan hanyalah rasa hormat, sama seperti hormat yang saya berikan kepada mereka yang pernah hadir dalam hidup saya,” jelasnya.
Menepis sebarang spekulasi, Ameera menegaskan tiada pihak yang harus dipersalahkan dan menolak sebarang cubaan menunding jari.
“Tiada salah sesiapa, tiada pihak dan tiada cerita untuk dituding jari,” tegasnya.
Tambah Ameera, apa yang dilihat orang ramai hanyalah sebahagian kecil daripada realiti hidupnya, manakala kisah sebenar hanya difahami oleh insan terdekat.
“Apa yang dilihat orang ramai hanyalah sebahagian kecil daripada realiti hidup saya. Hakikatnya, hanya mereka yang rapat mengetahui apa yang benar-benar saya lalui,” katanya.
Mengakhiri luahan tersebut, Ameera menitipkan doa agar tahun 2026 menjadi lembaran terbaik buat dirinya dan semua.
“Saya berdoa agar 2026 menjadi tahun terbaik. Selamat tahun baharu,” katanya.





