nooratiqah.sulaiman@bh.com.my
Kuala Lumpur: Sebuah kisah menyayat hati mengenai seorang ibu buta yang dilupakan anak sendiri menjadi inti pati video raya terbaharu terbitan Bank Muamalat Malaysia Berhad.
Kasih Tak Terlihat yang dilancarkan sempena Aidilfitri tahun ini mengangkat realiti kehidupan golongan kurang upaya (OKU) penglihatan dengan menyampaikan mesej mendalam mengenai kasih seorang ibu yang tidak pernah pudar walaupun dalam serba kekurangan.
Naskhah itu bukan sekadar paparan emosi, sebaliknya mengajak masyarakat merenung kembali tanggungjawab seorang anak untuk menghargai dan berbakti kepada ibu bapa, terutama mereka yang diuji dengan kekurangan fizikal.
Lebih istimewa, keseluruhan penerbitan video itu dihasilkan oleh warga kerja Bank Muamalat sendiri, daripada idea dan skrip hingga ke produksi, mencerminkan kesungguhan dalam menyampaikan mesej kemanusiaan yang dekat dengan realiti masyarakat.
Penghasilan video itu turut mendapat kerjasama Malaysian Association for the Blind (MAB), sebagai usaha memperkukuh sokongan terhadap komuniti OKU penglihatan di negara ini.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Khairul Kamarudin, berkata video berkenaan diharap mampu menyentuh hati masyarakat untuk lebih menghargai insan tersayang.
“Inisiatif ini mencerminkan komitmen Bank Muamalat dalam menyemai nilai empati dan keprihatinan melalui pendekatan penceritaan yang dekat dengan realiti masyarakat.
“Melalui Kasih Tak Terlihat, kami ingin mengajak masyarakat merenung kembali makna kasih sayang seorang ibu yang sering kali tidak ternilai dan tidak terlihat, namun sentiasa hadir dalam kehidupan kita.
“Video ini juga menjadi peringatan bahawa Aidilfitri bukan sekadar perayaan, tetapi masa terbaik untuk kita kembali kepada nilai ihsan, memaafkan serta menghargai insan yang paling berjasa dalam hidup kita,” katanya dalam kenyataan.
Dalam pada itu, selain memperkenalkan video raya baharu, Bank Muamalat turut menyalurkan sumbangan baju dan menyampaikan duit raya kepada komuniti asnaf dalam kalangan ahli MAB.
Inisiatif itu dilaksanakan menerusi Jariah Fund sebagai sebahagian usaha memperluaskan impak sosial secara inklusif, selain menyokong aspirasi Bank Negara Malaysia dalam memastikan perkhidmatan kewangan yang adil dan menyeluruh kepada semua lapisan masyarakat.
Bank Muamalat komited untuk terus memperkukuh kerjasama bersama MAB, termasuk meningkatkan akses kepada perkhidmatan kewangan dan peluang ekonomi kepada komuniti OKU penglihatan, selaras peranannya sebagai institusi kewangan Islam yang memacu kesejahteraan sosial.
© New Straits Times Press (M) Bhd




