"Ada kelainan sedikit"

"Ada kelainan sedikit"

wanasr@hmetro.com.my

ARTIS serba boleh, Roslan Shah bersyukur apabila program siaran langsung Night Walk menampilkannya bersama selebriti jemputan mendapat sambutan menggalakkan penonton.

Menurut Roslan atau mesra disapa Cik Lan, program terbitan MBK Filem Studio bersama sahabatnya, Mango Bossku yang berkonsepkan aktiviti paranormal itu disiarkan secara langsung di saluran Youtube MBK Filem Studio setiap Isnin jam 11.59 malam.

Katanya, program berkenaan mempunyai kelainan tersendiri kerana mempunyai konsep unik dan keistimewaan sendiri.

“Saya buat night walk bersama selebriti jemputan. Saya pula tampil dengan cara sendiri berpakaian dengan bermacam gaya, bawa alatan dan makanan di mana konsep seperti tidak pernah dibuat orang.

“Paranormal sebenarnya benda serius tapi saya buat secara kebetulan itu pula lawak, ada juga serius dan elemen menyeramkan.

“Kami tidak memuja dan melakukan perbuatan syirik dalam paranomal ini. Menariknya ia turut dimeriahkan dengan penampilan rakan-rakan selebriti antaranya Fattah Amin, Ustaz Ebit Lew, Datuk Seri Vida, Nabil Ahmad, Pak Azad, Radin, Bocel, Datuk Ady Putra, Ifa Raziah, Fazil Zainal dan ramai lagi memang sangat meriah sekali,” katanya.

Roslan yang terkenal dengan personaliti yang ceria mengakui menerima maklum balas yang baik daripada penonton di Singapura, Indonesia, Brunei dan Malaysia.

Katanya, program berkenaan dilakukan secara spontan, tiada skrip malah lokasi penggambaran juga hanya diketahui oleh pihak produksi sahaja.

“Hanya mereka (kru produksi) sahaja tahu lokasi sebenar. Mereka umpamanya ‘prank’ saya kerana saya ni penakut. Jadi saya tampil dengan cara memakai kain lampin, pakai pakaian tertentu kerana mahu atasi rasa takut atau lupakan penampakan ketika terbabit dalam program itu.

“Tak sangka program ini mendapat ‘feedback’ yang baik daripada penonton,” katanya yang perlu melepasi cabaran dan masa tertentu dalam program itu.

Bagaimanapun Roslan juga tidak terlepas daripada kritikan segelintir netizen sebaliknya memilih untuk melihat sisi positif dan menghargai sokongan yang diterimanya daripada peminat baharu.

“Saya terkejut bila orang kata mereka suka tengok keletah saya yang kelakar dan spontan. Ada juga yang mesej mengatakan mereka hilang stres bila tengok video saya. Saya rasa sangat gembira dan bersyukur.

“Tawaran pengacaraan, undangan nyanyian dan kerjasama dengan pelbagai jenama juga semakin banyak saya terima. Mungkin ini berkat saya menjaga arwah ibu saya dulu,” ujarnya.

Roslan tidak menyangka jumlah pengikutnya di TikTok meningkat mendadak selepas lebih tiga bulan program tersebut disiarkan.

“Sebelum saya muncul dalam video Night Walk bersama MBK Film Studio, saya hanya ada sekitar 60,000 pengikut di TikTok. Alhamdulillah, selepas banyak video saya tular dan ramai menonton Night Walk bersama artis-artis undangan, jumlah pengikut saya meningkat kepada lebih 236,000,” katanya.

Selain aktif dalam dunia digital, Roslan turut gembira dengan sambutan hangat terhadap lagu terbarunya, Hantu Hantu Hantu ciptaan Adi 6ixth Sense selaku komposer dan Emma Rockers selaku penulis lirik.

“Saya bersyukur lagu Hantu Hantu Hantu mendapat tempat di hati pendengar. Ramai yang cakap lagu itu kerap dimainkan di stesen radio tempatan dan luar negara.

“Saya juga terkejut bila ada peminat dari Brunei mesej beritahu lagu saya selalu diputarkan di sana. Alhamdulillah, semuanya rezeki Allah,” ujarnya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top