Ada kelas tersendiri

Ada kelas tersendiri

razis@mediaprima.com.my

SHAMSUL Hezri Hassan atau lebih mesra disapa Syul Hezri, 45, bukanlah seorang pelukis biasa.

Mempunyai latar belakang pendidikan korporat dan pengalaman pengembaraan yang luas, Syul Hezri membawa satu pendekatan unik dalam dunia seni, yang lebih berorientasikan pada penceritaan dan apresiasi berbanding jualan semata-mata.

Syul Hezri berkata, seni lukisnya bermula secara serius di rumah ketika dia berusia 25 tahun dengan menghasilkan lukisan mural sebelum berubah angin dengan aktif menghasilkan lukisan catan di atas kanvas.

“Pada ketika itu saya melihat, melukis antara jalan untuk lari sekejap dari tekanan dunia korporat. Semua lukisan yang dihasilkan selepas waktu bekerja dan tidak pernah dirancang untuk tatapan umum.

“Namun, selepas didorong rakan-rakan yang melihat nilainya, saya akhirnya bersetuju mengadakan pameran solo pertama kira-kira setahun lalu di sebuah pusat beli-belah.

“Siapa sangka, pameran itu bukan sahaja menjadi titik permulaan, malah membuka jalan untuk lebih banyak pameran lain termasuk di luar negara,” katanya.

Syul Hezri berkata, salah satu tema utama yang sering diangkat adalah perubahan iklim

“Saya sentiasa percaya bahawa seni memainkan peranan besar dalam mendidik masyarakat berkenaan isu penting ini terutamanya apabila ia disampaikan secara visual,” katanya.

Keunikan karya Syul Hezri terletak pada mesej tersembunyi yang diselitkan dalam setiap lukisan yang dihasilkan.

Penulis sendiri diuji oleh Syul Hezri untuk mengesan maklumat yang disembunyikan dalam setiap lukisan yang dihasilkannya. Hanya selepas penerangan diberikan, barulah dapat dilihat dengan jelas mesej yang ingin disampaikan.

Sebagai contoh Syul Hezri berkata, dalam lukisan ombak yang menjadi tema pameran sempena Persidangan Lautan Sedunia, dia menyelitkan kalimah suci Ayat Kursi.

“Tujuannya adalah untuk mengingatkan pengunjung supaya sentiasa mengingati Tuhan ketika berhadapan dengan cabaran hidup.

“Konsep ini membuktikan fleksibiliti seni, di mana satu lukisan boleh membawa pelbagai makna, bergantung kepada interpretasi pengunjung,” katanya.

Melalui pendekatan ini, Syul Hezri ingin menggalakkan pengunjung meluangkan lebih banyak masa dengan lukisannya, mencari elemen tersembunyi dan seterusnya membina hubungan peribadi dengan karya seni itu.

Pengalaman hidup Syul Hezri sebagai seorang pengembara membentuk dirinya sebagai seorang seniman.

“Saya gemar menjelajah secara rawak tanpa perancangan terperinci, selalunya membawa beg galas selama tiga bulan. Pendekatan ini membolehkan saya berinteraksi dengan penduduk tempatan dan memahami budaya serta cerita hidup mereka.

“Malah, pengalaman ini bukan sahaja memberikan inspirasi untuk lukisan-lukisan, tetapi juga memupuk perspektif yang berbeza mengenai kehidupan,” katanya.

Cabaran utama baginya adalah untuk mencari jalan bagi komuniti seni di Malaysia supaya lebih berkembang.

“Saya tidak menafikan bahawa budaya di Eropah lebih terbuka terhadap seni, namun saya yakin bahawa dengan pendekatan yang betul, apresiasi seni di Malaysia juga boleh ditingkatkan,” katanya.

Pada masa sama, dia mahu mengajak masyarakat Malaysia supaya tidak takut menghargai seni.

“Tidak semestinya anda perlu membeli untuk menghargai satu-satu karya seni. Sebenarnya, banyak cara masyarakat boleh menghargai seni termasuk meluangkan masa untuk memahami dan menikmati ceritanya.

“Dalam dunia penuh tekanan, seni antara pilihan yang boleh dicuba untuk membantu kita tenang dalam menjalani kehidupan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top