Ada kelas tersendiri selain terus jaga kredibiliti dimiliki

Ada kelas tersendiri selain terus jaga kredibiliti dimiliki

norhayati_nordin@hmetro.com.my

NAMA Baki Zainal mungkin kurang menjadi sebutan dalam kalangan penonton Melayu, namun tidak bagi program travelog berbahasa Mandarin dan Inggeris yang menampilkan kredibiliti dirinya.

Antara pengacara Malaysia yang dikenali di Asia, Baki, 45, sama sekali tidak mendabik dada. Baginya pembabitan dalam karier seni adalah minat dan rezeki termasuk tidak perlu terlalu menguar-uarkan soal peribadi.

Masih bujang, anak bongsu dalam keluarga ini mengaku bukan tidak mahu mencari teman hidup tetapi kesibukan pada kerja termasuk menjaga ibunya, Zainah Hassan, 82, adalah keutamaan.

“Soal jodoh ini, kalau saya kata serahkan semuanya pada takdir Tuhan, bunyi macam jawapan ‘klise’. Tetapi, sejak dari dulu mungkin saya sudah terbiasa dalam kesibukan menguruskan kerjaya saya.

“Apatah lagi, saya seorang yang suka ‘nature’ (terokai alam semula jadi). Masa saya sentiasa lebih banyak berada di laut atau terbang di udara (lakukan aktiviti lasak). Buat apa yang saya minat.

“Selain itu, saya juga kena pastikan kebajikan cinta hati iaitu ibu saya. Jadi, saya masih belum jumpa masa untuk betul-betul fikirkan tentang hal seperti perkahwinan atau jodoh ini. Apa pun, saya ‘happy’ bersendiri.

“Paling penting sekarang ialah kesihatan ibu saya dan juga kualiti hidup kami. Tetapi, saya tidak menolak jodoh, kalau ada dan sampai masanya, Alhamdulillah. Saya pasti akan terima,” katanya.

Berbicara dirinya yang boleh dikatakan ‘bersih’ daripada gosip, pemilik nama sebenar Zahamin Baki Zainal ini berkata, sebagai manusia biasa, tidak ada yang sempurna tetapi dia bersikap lebih berhati-hati.

“Kita tidak sempurna. Cuma, kalau boleh kita cuba sedaya-upaya jaga aib diri sendiri dan juga aib orang lain. Tidak perlulah semua yang berlaku terutama yang terlampau peribadi, kita kongsikan dalam media sosial.

“Setakat ini, saya gunakan platform media sosial yang ada untuk menyebarkan mesej lebih ke arah positif dan kebaikan. Syukur Alhamdulillah, ia juga beri ketenangan pada diri saya sendiri,” katanya.

Mengulas tanggapan bila tiada gosip atau cerita sensasi maka kurang popular, Baki memaklumkan kenyataan berkenaan adalah subjektif dan bergantung kepada pilihan masing-masing.

“Bagi saya, untuk gosip ini umpama ‘bad publicity is also publicity’ (publisiti yang buruk juga publisiti). Tetapi untuk saya, apakah yang dicari dalam erti kata ‘popular’ itu? Saya ada cara sendiri.

“Sejak dulu, saya bekerja keras supaya penonton rancangan bahasa Mandarin yang saya kendalikan tidak lupa dengan keistimewaan dan kebolehan saya, seorang anak Melayu fasih dalam berbahasa Cina.

“Sebab saya rasa rugi dan sayang, kalau penilaian popular atau bagusnya bakat saya itu hanya kerana saya adalah bangsa lain. Alhamdulillah, ini yang saya sentiasa tekankan pada diri.

“Ia sama juga saya rasa kalau populariti saya hanya bergantung kepada gosip semata-mata. Saya yakin akan berasa sedih. Insya-Allah, 2026 ini adalah tahun ke-23 saya dalam industri seni.

“Syukur kepada Allah kerana saya masih ada rezeki dengan mendapat undangan untuk terbabit mengacarakan program TV, muncul di platform ‘online’, berlakon dan lain-lain lagi,” katanya.

Terdahulu, Baki yang berasal dari Johor sering mengacarakan program televisyen dalam bahasa Mandarin di NTV7 dan 8TV seperti Let’s Cycle dan Travel With My Love termasuk Asian Television Awards 2016 dan 2017 di Singapura.

Manakala, dalam lakonan pula, Baki pernah membintangi beberapa filem seperti Sini Ada Hantu pada 2011, Rentap (2014) dan Juang (2022).

Dia juga bakal muncul di pawagam tahun ini menerusi filem seram komedi berjudul Pantang.

Berbicara juga mengenai juadah kegemarannya ketika meraikan Aidilfitri, Baki berkata, dia sangat menyukai kuih tradisional iaitu halwa maskat yang diperbuat daripada minyak sapi, tepung, gula, kismis, badam dan lain lain.

“Sejak zaman kanak-kanak sampai sekarang, saya sangat suka makan sejenis kuih tradisional yang namanya halwa maskat. Dulu, Allahyarham ayah saya selalu akan suruh kakak ipar buat, sedap sangat.

“Cara pembuatan kuih ini seakan dodol. Tetapi, nak menyediakannya memakan masa yang lama dan susah untuk dapatkan orang betul-betul pandai buat. Jadi, saya bangga kakak ipar boleh buatkan,” katanya.

Pada perkembangan lain, Baki memaklumkan dia kini sibuk mengacara beberapa rancangan TV baharu termasuk program di saluran YouTube seperti Selam Skuba, Adventure Travel dan masakan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top