London: Bedah siasat terhadap bayi berusia enam bulan yang mati secara misteri di rumah mendapati ada kesan kokain dan ganja di dalam badannya pada keterangan bagi inkues bayi itu, lapor portal Mirror.
Inkues itu dijalankan susulan kes membabitkan bayi itu, Evelynn Simmons-Avery yang ditemukan kaku dan tidak bertindak balas di katil bayinya pada 7 Julai 2019.
Sehari sebelum dia meninggal dunia, bapanya Darryl Avery dikatakan memberitahu ibunya Charlotte Simmons untuk meninggalkan rumah di Newton Abbot, Devon selepas mereka berdua bertengkar.
Avery dilapor terbabit dalam kemalangan kereta pada hari yang sama, walaupun inkues di Mahkamah Koroner Plymouth mendengar bahawa Evelynn tidak didapati mengalami sebarang kecederaan serius.
Avery memberitahu polis dia pulang ke rumah sekitar jam 10.30 malam pada 6 Julai dan menidurkan seorang lagi anaknya, manakala Evelynn sedang tidur di atas katil bayi di sebelah katilnya sendiri.
Dalam kenyataannya, dia mengimbas kembali bayi itu bangun sekitar jam 3 pagi untuk diberi makan, dan tertidur selepas diberi botol dan kelihatan sihat.
Apabila dia terjaga kira-kira jam 8 pagi, dia mendapati bayinya itu tidak sedarkan diri dan tidak bernafas di dalam katil bayinya.
Dia melakukan bantuan kecemasan jantung dan pernafasan (CPR) sehingga paramedik tiba empat minit kemudian, termasuk ambulans. Namun, usaha itu gagal apabila bayinya tidak dapat diselamatkan.
Evelynn kemudiannya dibawa ke Hospital Torbay oleh kedua ibu bapanya.
Avery bagaimanapun ditangkap di hospital dan disoal siasat dalam tempoh yang lama.
Det Con Donna Tullock, pada masa itu sebahagian daripada unit perlindungan awam, memberitahu inkues pada 24 Januari bahawa ganja ditemukan di rumah itu, yang menurut Avery adalah untuk kegunaan peribadinya sendiri.
Katanya, dia pengguna biasa, tetapi tidak menghisap ganja di hadapan anak-anak.
Dia menafikan sebagai pengguna kokain dan memberitahu polis dia tidak tahu bila Evelynn terdedah kepada dadah sebelum kematiannya.
Berikutan kesimpulan siasatan polis, dia mengaku bersalah di mahkamah atas dua pertuduhan menganiaya kanak-kanak.
DC Tullock berkata, Avery mengaku bahawa kemalangan yang berlaku pada 6 Julai disebabkan pemanduan yang tidak selamat.
Pakar patologi forensik Dr Deborah Cook mengesahkan produk pecahan ganja dan kokain terdapat dalam darah Evelynn.
Sebab perubatan mengapa Eveylnn meninggal dalam kes ini masih tidak dapat dipastikan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




