“Ada Luka Yang Tak Boleh Disentuh Sebelum Masanya” – Erma Fatima Kembali Duduk Di Kerusi Sutradara

“Ada Luka Yang Tak Boleh Disentuh Sebelum Masanya” – Erma Fatima Kembali Duduk Di Kerusi Sutradara

Lebih sedekad tidak duduk di kerusi sutradara, pengarah dan penerbit Erma Fatima kembali dengan karya berjudul Jangan Panggil Aku Gus.

Menurut anak seni prolifik ini, dia menunggu masa yang sesuai sebelum mendedahkan naskhah arahannya yang terbaharu selepas berehat lama dari kerusi pengarahan.

Erma, 58, menjelaskan ada sebab peribadi mengapa dia memilih untuk mengangkat kisah benar itu pada waktu ini dan bukan lebih awal lagi.

“Sebenarnya saya sudah lama tunggu waktu yang sesuai. Ada cerita yang tak boleh diceritakan terlalu awal.

“Ada luka yang tak boleh disentuh sebelum masanya.

“Mungkin sekarang dah tiba waktunya untuk saya zahirkan satu naskhah dari sebuah kisah benar,” kongsi Erma dalam sebuah hantaran di Instagram hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Selepas Lebih Sedekad, Erma Fatima Lepas Gian Kembali Duduk Di Kerusi Pengarah?

Kakak kepada Datin Seri Umie Aida ini menambah, idea karya ini datang dari dirinya dan dia memilih untuk mengarahkannya sendiri kerana mahu menyampaikan mesej tanpa niat menghakimi mana-mana pihak.

“Saya boleh sahaja memilih untuk menulis dan melihat orang lain mengarahkannya tetapi naskhah ini saya sendiri yang memilih untuk arahkan.

“Saya tidak menulis untuk menghukum atau membuka mata sebaliknya tentang bagaimana nama boleh menjadi beban,” tulisnya lagi.

Setakat ini Erma belum mengumumkan sama ada naskhah itu akan dihasilkan sebagai drama atau filem.

Sebelum ini, Erma pernah mendapat perhatian serantau, termasuk Indonesia menerusi karya Bidaah dan peminat kini ternanti pengumuman lanjut mengenai projek terbaharunya.

Scroll to Top