am@hmetro.com.my
Tanjung Malim: Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff mengakui tragedi meragut nyawa 15 pelajar universiti itu dalam nahas bas pada 9 Jun 2025 meninggalkan parut kesedihan buatnya secara peribadi.
Kata Md Amin, terdapat malam tertentu sebelum tidur yang menyebabkan dia menangis kesedihan kerana mengenangkan tragedi itu bukan sahaja kerana kehilangan 15 nyawa tetapi juga kerana merasakan dirahmati apabila urusan berkaitan tragedi itu dimudahkan Allah.
Katanya, lebih memilukannya selaku pengurusan tertinggi UPSI, apabila mendapati sebahagian besar daripada mangsa yang juga pelajar menaiki bas berkenaan datang daripada keluarga kurang berkemampuan. Apatah lagi tiada mana-mana keluarga pelajar terbabit menyalahkan pentadbiran universiti.
“Jumlah 15 pelajar bukan kecil dan apabila saya menziarahi ibu bapa pelajar terbabit saya bertambah sedih kerana 38 daripada 42 pelajar yang menaiki bas itu daripada keluarga susah namun mereka reda.
“Mereka sedih dan saya pun harus menyembunyikan kesedihan saya. Ada malam tertentu bila hendak tidur sampai sekarang, saya menangis kerana kesedihan kehilangan anak-anak ini namun dalam masa sama saya menangis kerana Allah SWT memudahkan semua urusan ini.
“Ada seorang mangsa meninggal dunia, kakak dan abangnya tidak ke universiti demi memastikan adiknya dapat belajar di universiti kerana tidak mampu. Arwah Nurly Sahirah Azman pula hampir ke praktikal hinggakan bapanya membeli sebuah kereta untuk kegunaannya.
“Bayangkan perasaan ibu bapa atau abang melihat kereta itu tidak pun sempat lagi digunakan oleh arwah Nurly. Jadi kalau tanya saya secara jujurnya ia adalah suatu insiden yang memilukan dan menyedarkan kita tentang erti dan nilai kemanusiaan,” katanya.
Menurutnya, dalam mengatasi risiko kecelaruan maklumat, pengurusan tertinggi UPSI bertindak secara sistematik termasuk mengarahkan unit khidmat sokongan yang terdiri daripada pensyarah untuk menyalurkan bantuan awal serta logistik kepada keluarga mangsa.
© New Straits Times Press (M) Bhd




