Ada pegawai kanan tak tahu data terkini – Utusan Digital

PUTRAJAYA: Sikap segelintir pegawai kanan kerajaan yang tidak peduli data terbaharu berkaitan perkembangan negara wajar diubah dan diperbaiki dalam usaha negara menuju ke hadapan dengan pembangunan lebih bersepadu.

Teguran itu disuarakan Timbalan Ketua Setiausaha Kanan, Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Sallehhuddin Hassan yang kesal ada pegawai tertinggi tidak mengambil berat perkara itu.

“Setiap hari, saya berkongsi data terkini yang diterbitkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) terus dengan ramai pegawai kanan termasuk ketua setiausaha pelbagai kementerian.

“Namun apa yang agak memeranjatkan apabila ada dalam kalangan mereka ini langsung tidak tahu-menahu mengenai statistik itu, walhal ia amat besar impaknya kepada negara kita,” katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Pelan Strategik DOSM 2021-2025 di sini hari ini yang turut dihadiri Ketua Pengarah DOSM, Datuk Seri Mohd. Uzir Mahidin.

Pelan jabatan selama tempoh lima tahun tersebut merupakan kesinambungan kejayaan pelaksanaan Pelan Strategik DOSM 2010-2014 dan Pelan Trasformasi DOSM 2016-2020.

Mohd. Sallehhuddin berkata, setiap pagi beliau sering menerima banyak mesej mengenai isu statistik semasa daripada Mohd. Uzir dalam pelbagai bidang untuk rujukan dirinya.

“Walaupun data itu nampak remeh sifatnya, saya akan forward (hantar) kepada pegawai tertinggi di setiap kementerian dan ramai apabila saya tanya, tidak tahu perihal statistik tersebut,” katanya.

Senario itu mengingatkan beliau ketika pernah berkhidmat di Kementerian Pertanian apabila menterinya gagal memberi jawapan tuntas dalam sesi Parlimen berhubung isu pengeluaran susu haiwan.

Belajar daripada kesilapan itu, beliau melantik seorang petugas DOSM sebagai pegawai khas di pejabatnya bagi membuat analisis melibatkan segala perangkaan terkini untuk rujukan kementerian.

Hasilnya, beliau lebih tahu pelbagai statistik terkini dalam ‘bahasa’ yang lebih mudah difahami berbanding sebelum itu yang tidak bersepadu dan menyukarkan perancangan bajet tahunan.

“Ini pernah berlaku di Kementerian Pendidikan apabila saya difahamkan bahagian data di situ amat besar, tetapi maklumatnya tidak dikoordinasi baik dengan agensi awam lain,” jelas beliau.

Keadaan itu kata Mohd. Sallehuddin, mengakibatkan pernah ada beberapa sekolah yang agak hebat dibina namun murid pula kurang kerana statistik penduduk di situ tidak diambil kira.

Situasi tersebut jelasnya, menyebabkan berlaku pembaziran kos dan tenaga, walhal peruntukan boleh disalurkan kepada projek di lokasi lain yang lebih terdesak memerlukan kemudahan tersebut.

Untuk itu beliau menaruh keyakinan pelan strategik DOSM kali ini mengukuhkan rantaian sistem statistik negara sejajar imej peranan terkini sebagai badan induk penjana data kebangsaan.

“Pelan ini juga selaras moto baharu DOSM, Statistik Nadi Kehidupan dan menjadi agensi utama negara kita dalam pengumpulan data semua pihak untuk kepentingan rakyat,” katanya.

Scroll to Top