Ada pemohon rumah generasi baharu FELDA Papan Timur sudah meninggal dunia, rumah pula masih terbengkalai

Ada pemohon rumah generasi baharu FELDA Papan Timur sudah meninggal dunia, rumah pula masih terbengkalai

am@hmetro.com.my

Kota Tinggi: Sebanyak 539 unit Perumahan Generasi Baharu FELDA (PGBF) di FELDA Papan Timur di sini, dilaporkan masih terbengkalai, sekali gus membuatkan generasi kedua FELDA terpaksa meneruskan penantian untuk memiliki rumah sendiri.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penawar Fauziah Misri berkata, keadaan itu amat mengecewakan kerana isu terbabit sudah berlarutan lebih 10 tahun namun sehingga kini masih belum selesai.

Beliau berkata, lebih terkilan apabila ada pemohon asal yang membuat permohonan dilaporkan sudah meninggal dunia.

“Bayangkan ada pemohon ketika memohon dahulu masih bujang, sekarang sudah pun berkeluarga dan mempunyai tiga anak.

“Rumah itu sepatutnya menjadi tempat mereka membina kehidupan, tetapi sampai sekarang tidak siap dan proses pembinaannya sangat perlahan,” katanya.

Difahamkan, projek PGBF di kawasan berkenaan mula dirancang pada 2013 dan sehingga kini masih gagal disiapkan sepenuhnya.

Menurut Fauziah, beliau sendiri sudah turun padang pada minggu lalu bersama pengurusan FELDA Investment Corporation (FIC) bagi meninjau sendiri keadaan projek berkenaan.

Katanya, kontraktor terbabit sudah dikenakan surat denda ‘Extension of Time’ (EOT) dan kini masih menunggu kelulusan penyambungan semula daripada pihak FELDA.

“Projek ini sudah masuk kontraktor ketiga, tetapi hasilnya masih mengecewakan. Saya desak supaya pihak FELDA menilai semula dan menyegerakan penyelesaian isu ini.

“Jangan biar pemohon terus menunggu tanpa kepastian. Kita harap projek perumahan ini dapat diselesaikan selewat-lewatnya tahun depan,” katanya.

Beliau berkata, projek yang membabitkan kawasan FELDA Papan Timur, Sungai Mas dan Bandar Mas itu menawarkan harga rumah sekitar RM90,000 hingga RM100,000, satu nilai yang sangat berpatutan bagi generasi kedua.

” Kalau rumah ini siap, bukan sahaja menyelesaikan masalah perumahan, malah mampu meringankan beban ramai keluarga FELDA yang menanti sejak sekian lama serta dapat menghalang penghijrahan generasi muda FELDA keluar dari kampung,” katanya.

Semalam, Fauziah hadir merasmikan Majlis Penyerahan Inisiatif Memperkasa Komuniti FELDA Negeri Johor peringkat DUN Penawar di Dewan Semai Bakti FELDA, Air Tawar 5, di sini.

Mengulas berkaitan majlis itu, Fauziah berkata, bantuan daripada Kerajaan Negeri Johor berkenaan diserah kepada warga FELDA yang mana RM10,000 untuk Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR), RM5,000 untuk Gerakan Persatuan Wanita (GPW), RM5,000 untuk Majlis Belia FELDA Malaysia (MBFM) selain RM5,000 masing-masing untuk setiap masjid dan surau.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top