Ada pihak pertikai tiket mahal, konon Elite menyanyi pun out

Ada pihak pertikai tiket mahal, konon Elite menyanyi pun out

Baru-baru ini, tular di media sosial rungutan segelintir peminat terhadap harga tiket konsert kumpulan Elite, yang dikatakan mencecah ratusan ringgit.

Namun yang lebih menjadi bualan bukan hanya soal harga, tetapi mutu persembahan yang dikatakan mungkin jauh daripada jangkaan dan harapan.

Cik Bunga puji hasrat Kumpulan Elite yang pernah menjadi fenomena suatu ketika dahulu dengan lagu-lagu seperti Tamparan Wanita dan Trauma, untuk kembali ke pentas hiburan demi mengubat rindu para peminat.

Tetapi, belum pun mula konsert, ramai pula yang berbunyi di media sosial dan menyindir bahawa kelima-lima anggota kumpulan Elite, baik Azza, Shasha, Watie, Abby dan Linda, semua seakan sudah tidak boleh menyanyi dengan baik.

Pendek kata, tidak macam zaman muda mudi mereka dahululah. Iyalah, masing-masing pun sudah berkahwin, beranak-pinak, mutu vokal pun mungkin tidak sama macam dahulu apa lagi kalau nyanyian pun bukan aktiviti utama dilakukan dari semasa ke semasa.

Sudah lama berhibernasi kata orang. Jadi, apabila penganjur letak tiket pada harga mahal, manalah peminat dan warganet pun tak ‘bising’.

Sepatutnya, berpada-padalah letak harga, usahlah seakan mahu ‘ketuk’ poket peminat semberono sahaja.

Tengok pada kualiti artis itu jugalah. Yang ini Cik Bunga setuju. Sebab, adakala kita tidak boleh juga hendak angkat lebih-lebih kalau memang artis itu tidak boleh menyanyi sangat.

Realiti yang memang pahit, tapi kena diambil kira juga. Tak cuma itu, ada juga yang cadangkan, Elite mempelawa barisan artis lain sebagai tarikan dan untuk support persembahan konsert mereka kelak.

Ini sebagai antara tambah nilailah dalam persembahan mereka nanti.

Cik Bunga bukan hendak patahkan semangat mana-mana pihak, tetapi kita pun berharap mana-mana penganjur perlu terbuka mendengar dan mengambil kira pandangan orang ramai terutama peminat.

Sebab mereka ini adalah pembeli berpotensi tiket konsert.

Yang beli, yang duduk hendak tengok konsert itu semua mereka inilah. Tak akanlah hantu pula bukan.

Jadi, Cik Bunga harap, mungkin pihak penganjur dapat bertoleransi dalam hal ini dengan peminat.
Buat kumpulan Elite, ini pun satu cabaran buat anda semua.

Kalau tidak sanggup dan tidak suka dengar orang ramai kritik awak semua tidak boleh menyanyi, sila lanjutkan dengan latihan vokal dengan konsisten dan pulihkan semula mutu nyanyian masing-masing.

Tak akan hendak naik status di media sosial asyik berkecil hati atau marah dengan kritikan orang sahaja? Buktikan anda berlima tidak begitu.

Buktikan Elite sebenarnya memang ‘dahsyat’ dan masih bermutu! Bukan penyanyi suara out!

Scroll to Top