Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menolak penayangan drama ‘Madu atau Racun’ yang disifatkan menimbulkan keresahan serta kontroversi dalam kalangan masyarakat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Hasan berkata, pihaknya amat kesal dengan tindakan menyerapkan elemen yang menyentuh sensitiviti agama dan norma budaya tempatan, sama ada secara tersurat mahupun tersirat.
“Penerapan unsur-unsur bertentangan dengan ajaran Islam serta budaya ketimuran ini perlu dibendung agar pegangan akidah dan nilai moral masyarakat, khususnya generasi muda, sentiasa terpelihara.
“JPM (Hal Ehwal Agama) menegaskan bahawa prinsip ajaran Islam sentiasa meletakkan keutamaan kepada pemeliharaan kesucian institusi kekeluargaan dan tatasusila kehidupan beragama, manakala pemaparan gaya hidup songsang adalah bertentangan sama sekali dengan nilai murni tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia akan bekerjasama rapat dengan agensi berkaitan bagi menyemak kandungan berkenaan dan mengambil tindakan susulan berpandukan Garis Panduan Penapisan Kandungan Bahan-Bahan Penyiaran Berunsur Islam serta peruntukan undang-undang sedia ada.
Katanya, langkah itu bagi memastikan sebarang kandungan media disiarkan secara sahih serta memelihara kesucian agama.
Artikel lain: Berlakon drama ada unsur songsang? Elisya Sandha tak kisah dikecam, pesan jangan libatkan keluarga!
Zulkifli turut menyeru semua penggiat seni, penerbit dan stesen penyiaran supaya sentiasa peka serta bertanggungjawab dengan menjadikan garis panduan rasmi ditetapkan sebagai rujukan utama dalam menghasilkan karya yang mendidik jiwa dan membina sahsiah bangsa.

“Industri seni dan platform media sepatutnya dimanfaatkan sebagai medium menyemaikan nilai-nilai kebaikan, bukannya mencetuskan polemik yang menjejas keharmonian norma masyarakat.
“Kepada seluruh umat Islam, marilah kita bersama-sama mempertahankan kesucian agama dan akhlak dengan penuh ketaatan serta kebijaksanaan,” katanya.

