GENEVA – Ketua Pesuruhjaya Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) memberi amaran pada Khamis bahawa rakyat Palestin sedang berdepan usaha sengaja untuk merampas tanah air mereka ketika keadaan kemanusiaan semakin buruk di Gaza dan rantau berkenaan, lapor Anadolu Ajansi (AA).
“Kita sedang menyaksikan pelaksanaan projek untuk memisahkan rakyat Palestin daripada Palestin,” kata Philippe Lazzarini dalam catatan di platform X selepas menyampaikan kenyataan kepada Suruhanjaya Penasihat agensi itu.
“Di Gaza, akibat lebih 20 bulan tiada tindakan dan budaya tidak dikenakan hukuman, rakyat yang terdesak kini dibiarkan kelaparan, dihina dan direndahkan martabatnya. Mereka disekat di kawasan yang menyerupai ghetto atau kawasan penempatan yang terasing dan berkemungkinan akan dipindahkan lagi,” katanya.
Bercakap kepada anggota suruhanjaya itu pada Rabu, Lazzarini menyifatkan keadaan berkenaan sebagai “menjijikkan”, sambil merujuk bagaimana bekalan makanan dan perubatan “tersadai di seberang sempadan” sementara lebih dua juta penduduk terus menderita.
“Satu ‘mekanisme bantuan’ diwujudkan kononnya untuk menggantikan operasi bantuan antarabangsa berprinsip yang diketuai PBB, yang UNRWA adalah bahagian pentingnya,” katanya.
“Mekanisme baharu ini adalah kebejatan yang meragut nyawa,” tambahnya, merujuk kepada Yayasan Kemanusiaan Gaza yang disokong AS dan dikendalikan Israel, yang menyaksikan siri insiden maut.
Beliau memaklumkan hampir 320 kakitangan UNRWA telah terbunuh di Gaza sejak konflik memuncak, termasuk seorang anggota yang “dihukum mati serta-merta ketika bertugas untuk PBB dan ditemukan berhampiran kubur besar petugas perubatan Palestin.”
Di Tebing Barat yang diduduki, Lazzarini berkata “aneksasi sedang berjalan dengan rancak” sambil menyebut sekatan pergerakan yang teruk, keganasan pendatang haram, dan penutupan sekolah UNRWA di Baitulmaqdis Timur yang menjejaskan hampir 550 pelajar tanpa alternatif pendidikan.
“Menafikan hak kanak-kanak untuk belajar bukan sahaja tidak berperikemanusiaan, malah menyalahi undang-undang,” tegasnya.
Lazzarini memberi amaran: “Kita berada di ambang krisis yang mengancam untuk mengubah parameter perdamaian yang telah lama wujud secara kekal,” dan serangan terhadap UNRWA adalah sebahagian daripada agenda lebih besar “untuk melemahkan kelangsungan sebuah Negara Palestin dan menafikan status pelarian rakyat Palestin.”
Ketua UNRWA itu turut mengulas krisis kewangan yang melanda agensinya dan memberi amaran bahawa tanpa dana tambahan, beliau mungkin terpaksa membuat “keputusan luar biasa” yang menjejaskan operasi di seluruh rantau menjelang akhir Ogos. UNRWA berdepan kekurangan dana AS$200 juta untuk 2025 dan sedang mengurus aliran tunai dari minggu ke minggu.
Lazzarini menekankan: “Penglibatan politik berprinsip oleh negara anggota amat diperlukan segera, termasuk oleh anggota Suruhanjaya Penasihat ini berhubung masa depan pelarian Palestin.”
Beliau menutup kenyataan: “UNRWA tidak akan dapat bertahan tanpa proses politik sebenar yang berpandukan had masa. Apa yang dipertaruhkan bukan hanya institusi UNRWA, tetapi masa depan kolektif pelarian Palestin.”
Tentera Israel, yang menolak desakan antarabangsa untuk gencatan senjata, terus melancarkan serangan ganas ke atas Gaza sejak Oktober 2023, mengorbankan lebih 56,000 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak. – Bernama/Anadolu